CALON Perikatan Nasional (PN) yang bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N49 Sungai Kandis, Wan Dzahanurin Ahmad percaya bahawa semua calon mempunyai peluang sama rata untuk memenangi kawasan tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.
Menurutnya, walaupun perlu bersaing dengan penyandang kerusi tersebut iaitu Mohd Zawawi Ahmad Mughni, dia berkata, perkara tersebut tidak menghalangnya bersaing secara sihat dalam pilihan raya itu.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Raja itu berkata, rakyat perlu bijak menilai parti yang sentiasa berusaha keras untuk membela nasib rakyat.
"Itu bukan satu sebab untuk berasa takut atau teruja, semua orang mempunyai peluang yang sama.
"Siapa yang rajin, kuat bekerja, parti yang dipercayai oleh rakyat, itulah yang akan rakyat tentukan."
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor untuk DUN N49 Sungai Kandis di sekitar Dewan Orang Ramai MBSA Kampung Bukit Naga, Shah Alam, Selangor pada Sabtu.
Wan Dzahanurin (tengah) ketika bacaan doa oleh penyokong di sekitar Dewan Orang Ramai MBSA Kampung Bukit Naga, Shah Alam, Selangor pada Sabtu.
Wan Dzahanurin turut menasihatkan semua penyokongnya untuk bekerja dengan cara yang matang dan tidak menimbulkan kekecohan kerana ia boleh mecemarkan PRN dan memudaratkan parti itu sendiri.
Mengulas tentang manifestonya dalam PRN kali ini, beliau berkata kebanyakan elemen utama yang bakal diangkat adalah berkaitan ekonomi semasa.
Bagaimanapun, Wan Dzahanurin memaklumkan perkara tersebut hanya akan dimaklumkan oleh pucuk pimpinan PN dalam masa terdekat.
"Semua ini rakyat sudah tahu, jadi mereka perlukan pembelaan. Jika tidak ditangani dari sekarang, tidak mustahil negara kita akan jadi seperti Greece yang bankrup dan rakyat mula menderita.
"Jadi untuk menjamin negara kembali pada pada landasan betul, saya mohon rakyat untuk undi PN, kerana pemimpin kita seorang yang berpengalaman puluhan tahun dan pemilihan kita untuk calon dijalankan begitu telus," katanya.
PRN Selangor di DUN N49 Sungai Kandis kali menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara gabungan PH dan BN yang diwakili oleh penyandang kerusi tersebut, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Afriena Shaqira Sariff dan Wan Dzahanurin dari PN— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram