Polis kesan lelaki lari selepas pukul isteri hingga mati di Sungai Long


  • 112
  • Khamis, 27 Jul 2023

Mohamed Imran dicari untuk bantu siasatan berhubung kes kematian isterinya disyaki dipukul di sebuah pangsapuri di Sungai Long, Ahad lalu.

POLIS sedang mengesan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang wanita yang mempunyai kesan cedera di tubuhnya disyaki dibunuh.

Lelaki tersebut merupakan suami si mati yang dikenali sebagai Mohamed Imran Mohamed yang alamat terakhirnya di Apartment Sutera Pines, Sungai Long, Kajang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kematian wanita itu daripada seorang jururawat di sebuah hospital swasta di Kajang, selepas menyedari wanita itu tidak sedarkan diri dan disyaki telah meninggal dunia pada 12.15 tengah malam, Ahad lepas.

"Mangsa dihantar ke hospital itu oleh suaminya yang kemudian menghilangkan diri setelah mendapat tahu isterinya sudah meninggal dunia.

"Pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan hospital tersebut mendapati terdapat kesan cedera dan lebam di seluruh badan mangsa yang berusia 38 tahun itu.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk tujuan bedah siasat, hasilnya terdapat kesan kecederaan di seluruh badan si mati dan pakar patalogi mengesahkan punca kematian akibat dipukul objek tumpul sehingga mengakibatkan kecederaan dalaman yang serius," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya percaya kejadian tersebut berlaku di pangsapuri sama di Sungai Long, Kajang dan motif pembunuhan masih dalam siasatan polis.

Mohd Zaid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

"Kini pihak polis sedang mencari dan mengesan suami si mati untuk membantu siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan R K Umesh di talian 012-6114900 bagi membantu siasatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram