MB Selangor teliti cadangan hak milikan kekal tapi penduduk Taman Keramat minta pertimbang diskaun premium tanah


  • Primer
  • Isnin, 24 Jul 2023

Amirudin (tengah) menyerahkan notis 5A kepada penduduk Taman Keramat dalam Majlis Penyerahan Notis 5A kepada penduduk Taman Keramat di Dewan Serbaguna MPAJ Taman Keramat, Kuala Lumpur pada Selasa.

KERAJAAN Selangor akan mempertimbangkan cadangan daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Shaari Sungib berkenaan milikan tanah secara kekal kepada penduduk di negeri berkenaan.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara tersebut perlu diteliti kerana ia melibatkan kos tinggi yang perlu ditanggung oleh kerajaan negeri, selain membabitkan penyelenggaraan elektrik, saluran air, jalan dan rel.

"Selangor memerlukan perancangan 50 tahun akan datang supaya kita tidak membebankan pentadbiran pada masa depan kerana pemilikan sepenuhnya akan melibatkan kos yang tinggi kepada pengambilan-pengambilan.

"Kalau kos pegangan pajakan (leasehold) ini (kerajaan) masih boleh lagi, tapi selepas 99 tahun ini dan hampir dua generasi (mendapat hak) pemilikan, saya rasa dasar ini boleh diteruskan kecuali di kampung-kampung yang kita lindungi.

"Jadi saya perlu berhati-hati kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya (beri milikan kekal), nanti ia akan merencatkan kawasan pembangunan seperti di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Bila ada pembangunan hendak dibuat di sana, ia terkepung dengan bangunan-bangunan.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Notis 5A kepada penduduk Taman Keramat di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Taman Keramat, Kuala Lumpur pada Isnin.

file7r7hkz9dkw71e5bo7a0m

Amirudin ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Notis 5A kepada penduduk Taman Keramat di Dewan Serbaguna MPAJ Taman Keramat, Kuala Lumpur pada Isnin.

Bagi salah seorang penduduk, Norain Mohamad Noor, 60 pula, walaupun gembira dengan cadangan untuk meneliti pemberian hak milik kekal kepada pemilik tanah, dia berkata kerajaan wajar mempertimbangkan potongan harga untuk premium tanah di kawasan tersebut memandangkan kebanyakan mereka yang tinggal di situ adalah warga emas dan pesara.

"Bagus jika kerajaan ingin berikan milikan kekal, tapi kami nak tahu harga premium tanah itu. Kalau terlalu mahal, agak sukar kerana kebanyakan yang tinggal di Taman Keramat ni sudah tidak bekerja dan warga emas, jadi itu perlu dipertimbangkan.

"Kami nak bayar RM30,000 pun agak membebankan, nak bayar RM5,000 pun kami sudah tiada pendapatan," katanya yang tinggal di Taman Keramat, Kuala Lumpur lebih 30 tahun lalu.

Turut senada dengan Norain ialah Abdul Aziz Mohd Nor, 67 yang telah bermastautin di kawasan berkenaan sejak 40 tahun lalu.

Katanya, buat masa ini, harga premium tanah adalah RM2,800 per meter persegi, dan boleh meningkat pada tahun-tahun seterusnya.

"Saya harap kerajaan negeri dapat pertimbangkan harga premium yang lebih munasabah, kerana kawasan di sini lengkap dengan kemudahan asas, keselamatan yang baik jadi kami aman damai di sini," katanya.

Pada Selasa, seramai 46 penduduk di Taman Keramat, Kuala Lumpur menerima notis 5A untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah bagi tempoh 99 tahun akan datang. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram