'Rakyat dah lama merintih nilai RM100 macam RM50', ramai tidak sabar tunggu visi PM Anwar pacu ekonomi Malaysia


  • Primer
  • Rabu, 26 Jul 2023

BNM mengekalkan unjuran untuk pertumbuhan KDNK negara pada tahun ini antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus. — Gambar hiasan

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim buat pertama kalinya akan memperkenalkan perancangan hala tuju baharu ekonomi negara di bawah pentadbirannya dalam satu majlis yang diadakan pada Khamis.

Pelancaran hala tuju tersebut yang dinamakan sebagai 'Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat' itu bakal berlangsung di ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada pukul 9 pagi.

"Esok (Khamis) saya akan meluncurkan 'Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat' yang merupakan pengemudian dan pengarahan baharu ekonomi untuk menjamin masa depan negara. Nantikan, Insya-ALLAH," katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Negara ketika ini berhadapan dengan beberapa isu utama ekonomi antaranya melibatkan penyusutan nilai ringgit yang memberikan kesan langsung terhadap kuasa beli rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata daripada warganet melahirkan keterujaan mereka untuk menanti visi ekonomi yang bakal dilaksanakan.

"Bagus, nak tengok visi Anwar dalam membawa ekonomi Malaysia baharu," ujar Ahmad Farhan.

"Pengumuman yang dinanti-nantikan. Peluang terbaik untuk bandingkan visi ekonomi Anwar berbanding pendahulunya terutama Datuk Seri Ismail Sabri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin," kata nizambakeri.

logo madani

Dalam pada itu, antara harapan utama yang dikongsikan tentunya perancangan kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang masih berdepan dengan masalah tekanan ekonomi.

Pada masa sama, mereka turut berharap agar perancangan bakal dilaksanakan itu mampu meletakkan Malaysia kembali menjadi antara negara yang disegani di peringkat antarabangsa.

"Ramai rakyat tengah down. RM100 nilainya macam RM50 sahaja sekarang. Ramai yang dalam kesusahan. Kuasa membeli pun kurang. Walaupun tidak ada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lagi. Semoga dipermudahkan segala urusan PMX," kata Assu Paksu.

"Terbaik PM. Penambahbaikan mungkin memerlukan masa panjang, tapi ketiadaan hala tuju akan sekali gus melumpuhkan negara tercinta kita. Semoga pelaksanaan dijalankan dengan lancar dan rahmah," tulis Vincent Yap.

"Semoga hala tuju baharu ini dapat membantu PM terus mentadbir dengan penuh keyakinan dan seterusnya menjadikan Malaysia maju dan dihormati di persada dunia," kata Jabaruddinjaafar Jabar.

Ekonomi Malaysia mencatatkan perkembangan yang lebih baik daripada jangkaan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 didorong terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta.

Terdahulu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, bank pusat itu mengekalkan unjuran untuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun ini antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus.

Beliau berkata, permintaan dalam negeri kekal berdaya tahan dan pasaran kerja kini semakin baik, seterusnya menyokong perbelanjaan pengguna.

Pada 24 Februari lepas, Anwar, yang juga Menteri Kewangan, membentangkan belanjawan pertama Kerajaan Perpaduan dengan peruntukan sejumlah RM388.1 bilion, meningkat daripada RM372.3 bilion yang dibentangkan pada Oktober 2022.

Sejumlah RM289.1 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus dan RM99 bilion bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram