[VIDEO] Kebocoran cecair hidraulik punca kren terbakar, tumbang, 12 termasuk 3 bomba cedera


  • Benua
  • Khamis, 27 Jul 2023

Sebahagian daripada sisa kren yang tumbang di Midtown Manhattan, New York pada pagi Rabu. — Agensi

SEBAHAGIAN kren pembinaan tumbang di Midtown Manhattan, New York pada pagi Rabu sekali gus menyebabkan 12 orang cedera.

Kren itu runtuh sekitar pukul 7.30 pagi Rabu dan kejadian itu turut menyebabkan berlakunya kebakaran di kawasan berkenaan.

Memetik laporan media antarabangsa, CBS New York melaporkan kejadian itu berlaku berpunca daripada cecair hidraulik yang bocor ke plet panas berhampiran enjin kren sehingga menyebabkan kren tersebut terbakar dan runtuh.

Menurut pegawai Majlis Perbandaran Manhattan, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah yang berlaku.

Susulan daripada kejadian tersebut, laluan di sekitar 10th dan 11th Avenues antara 41st dan 42nd Streets, berhampiran Hudson Yards ditutup.

Seramai 12 orang dilaporkan tercedera termasuk tiga anggota bomba yang bertugas.

Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Dalam perkembangan lain, Datuk Bandar New York City, Eric Adams meluahkan rasa bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan berlaku.

"Keadaan mungkin menjadi lebih teruk, terutamanya memandangkan kawasan lalu lintas yang sibuk.

"Kita sangat bernasib baik kerana pada kejadian tersebut berlaku bukan pada waktu sesak, seperti yang anda tahu, Port Authority, banyak bas yang melalui jalan tersebut," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram