[VIDEO] Konflik dalaman menjelang PRN, ada pihak mula 'main api', bakar bendera PN tolak kartel Azmin Ali


  • Politik
  • Rabu, 26 Jul 2023

Bendera parti PN dibakar dan dipijak oleh sebilangan ahli Bersatu di kawasan DUN Batang Kali.

SELANGOR dijangka antara negeri yang bakal menyaksikan persaingan hebat antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung 12 Ogos depan.

Malah, kepimpinan PN yang merupakan blok terbesar pembangkang, turut berulang kali menyatakan keyakinan bahawa mereka mampu untuk menawan negeri tersebut daripada parti kerajaan.

Namun begitu, menjelang beberapa hari sebelum hari penamaan calon, gabungan berkenaan dilihat berhadapan dengan konflik dalaman apabila terdapat segelintir ahli parti mula menunjukkan protes secara terbuka terhadap pemilihan calon di kawasan mereka.

Antara kawasan yang terlibat dalam permasalahan tersebut adalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali yang menyaksikan gabungan tersebut meletakkan 'orang' kepercayaan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PN, Datuk Seri Mohd Azmin Ali.

Sebahagian ahli Bersatu bahagian itu dikatakan meluahkan kemarahan mereka terhadap calon PN yang diberikan kepada penyokong Pengerusi PN Selangor tersebut.

Menerusi hantaran Facebook Mohd Zikri Faiz yang dipercayai ahli Bersatu, dia memaklumkan bahawa Ketua Bersatu Hulu Selangor iaitu Mohd Anuar Mohd Nor seolah-olah dikhianati pimpinan pusat apabila calon lain, Muhaimin Harith yang diumumkan bertanding di kawasan tersebut.

"Gerakan menolak dan memboikot calon #sesumpah Perikatan Nasional N07 Batang Kali, Muhaimin Harith," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Bersatu Hulu Selangor difahamkan kecewa dengan pucuk pimpinan parti kerana meminggirkan peranannya dalam memutuskan calon PN di DUN Batang Kali pada PRN bulan depan.

Malah Mohd Anuar turut dilaporkan mendakwa, pemilihan calon PN dibuat dua pemimpin Bersatu yang langsung tidak membincangkan perkara itu dengan bahagian sehingga menimbulkan kemarahan ramai ahli akar umbi.

Isu tersebut sekali gus mengundang kemarahan ahli itu bertindak membakar serta memijak bendera PN.

Untuk rekod, Ketua Umno Hulu Selangor, Isa Kasim diumumkan sebagai calon mewakili gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan di DUN Batang Kali.

Sementara itu, Muhaimin Harith yang menyandang jawatan ahli Jawatankuasa Bersatu Hulu Selangor pula dipilih membawa cabaran PN di DUN Batang Kali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram