[VIDEO] Enam sefamili cuma tinggal sehelai sepinggang, rumah habis dijilat api di Jalan Damai Tawau


  • 112
  • Khamis, 27 Jul 2023

Enam keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran berhampiran Taman Damai, Jalan Damai, Tawau, Sabah pada Khamis.

ENAM keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran berhampiran Taman Damai, Jalan Damai, Tawau, Sabah pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 pagi itu, salah sebuah rumah yang dihuni 30 orang penduduk di kawasan berkenaan secara tiba-tiba terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.34 pagi.

Katanya, seramai 19 anggota dan pegawai bersama empat jentera termasuk Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam kebakaran.

“Operasi turut dibantu anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan enam buah rumah separuh kekal dan sudah musnah terbakar,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Tambahnya lagi, pasukan bomba terus menjalankan operasi memadam menggunakan dua pancutan daripada sumber air tangki jentera bomba bagi mengelak kebakaran merebak ke kawasan lain.

“Setakat ini, kebakaran hanya membabitkan kehilangan harta benda sahaja dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku.

“Pasukan operasi menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada pukul 4 pagi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram