Ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan bersama wang tunai, emas dan kereta mewah bernilai hampir RM100 juta 


  • 112
  • Rabu, 26 Jul 2023

Wang tunai berjumlah RM38 juta turut dirampas dalam operasi yang dijalankan di bawah Pasukan Petugas MATF itu.

SEORANG ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ dan dua rakan kongsinya ditahan dalam operasi besar-besaran yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia - Multi Agency Task Force (MATF), di sekitar Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Menurut sumber, dalam serbuan yang dilakukan serentak di 34 lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor dengan melibatkan kekuatan 315 pegawai pelbagai agensi itu, wang tunai berjumlah RM38 juta dan emas seberat anggaran 200 kilogram, dianggar bernilai RM60 juta telah dirampas.

Menurutnya, turut disita 17 kereta mewah antaranya berjenama Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz.

"Kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an ditahan kerana disyaki terlibat dengan rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.

WhatsApp Image 2023-07-26 at 19.35.17 - Copy

Emas seberat anggaran 200 kilogram turut dirampas dalam operasi berkenaan.

"Operasi ini merupakan kes pertama yang dijalankan di bawah Pasukan Petugas MATF yang dipengerusikan oleh Peguam Negara,” kata sumber itu.

Menurut sumber, operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama enam agensi penguatkuasaan lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Cyber Security Malaysia.

WhatsApp Image 2023-07-26 at 19.35.15

Kereta mewah berjenama Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz antara yang disita dalam serbuan tersebut.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan kesemua penahanan berkenaan.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AML,ATFPUAA) 2001, Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram