[VIDEO] Peniaga mercun di Kulai cedera dipukul, polis tahan 5 suspek


  • 112
  • Khamis, 06 Apr 2023

Tangkap layar pergaduhan berlaku di sebuah bazar Ramadan dekat Kulai, Johor pada Rabu.

POLIS menahan lima lelaki warga tempatan sekitar daerah Kulai, Johor pada Rabu dipercayai terlibat dalam serangan ke atas seorang peniaga sehingga mendatangkan kecederaan di Jalan Merbau, Bandar Putra, Kulai, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek yang berusia 18 hingga 47 tahun itu ditahan sekitar Taman Sentosa, Bandar Putra dan Jalan Indahpura, Kulai, antara pukul 1.30 tengah hari hingga 10.30 malam Rabu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian pada pukul 10.45 malam itu, mangsa berusia 41 tahun bersama tiga rakannya yang berniaga di bazar ramadan di Jalan Merbau, telah didatangi empat lelaki untuk berbincang berkenaan perniagaan mercun di kawasan itu.

"Bagaimanapun, ketika perbincangan, seorang daripada empat lelaki tidak dikenali telah bertindak menendang mangsa di bahagian dada sehingga terjatuh, yang kemudiannya diserang dengan senjata dipercayai sebatang kayu, selain dipukul oleh beberapa orang lain ketika hendak menyelamatkan diri.

"Akibat kejadian tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian kepala, lebam di muka, tangan kiri dan kanan serta mengalami sakit di bahagian badan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas Tok, mangsa telah menerima rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai serta kehilangan wang berjumlah RM5,405 dipercayai dirampas oleh individu-individu tersebut semasa kejadian.

Beliau berkata, ketika serbuan dan tangkapan, polis turut merampas sebatang kayu dan sehelai baju.

"Hasil siasatan awal, kesemua lima lelaki tersebut mengaku terlibat dalam kes yang disiasat dan motif kejadian dipercayai perselisihan faham. Semua ditahan tidak mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan direman selama empat hari mulai Khamis hingga Ahad,” kata Tok.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram