SEBUAH bengkel di Sentul, Jawa Barat, Indonesia yang pernah tular akibat mengenakan harga yang tidak masuk akal sehingga 2.7 juta rupiah (RM818.61) terbakar pada Rabu lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Babakan Madang, Susilo Tri Wibowo berkata, kebakaran itu berlaku dipercayai berpunca daripada litar pintas.
"Kebakaran tersebut dilaporkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.
"Maklumat awal daripada saksi yang juga pemilik warung di kawasan berkenaan memberitahu dia terdengar bunyi letupan dari dalam bengkel.
"Selepas letupan itu berlaku, saksi melihat kepulan asap hitam keluar dari bengkel itu dan api mula marak," katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Influencer' bina badan maut ketika angkat barbel seberat 210 kg
Tambahnya lagi, sebanyak empat jentera dari Bomba dan Penyelamat Daerah Bogor diturunkan untuk memadamkan kebakaran berkenaan.
"Tiada kemalangan jiwa berlaku dan bomba mengambil masa selama 45 minit untuk memadamkan kebakaran itu," katanya lagi.
Memetik laporan media antarabangsa, Tribun-video.com, pemilik bengkel dipercayai kerugian sehingga 500 juta Rupiah (RM151,471).
Sebelum ini, bengkel tersebut pernah tular di media sosial selepas mengenakan harga yang mahal buat pelanggannya.
Namun perkara tersebut diselesaikan selepas ada campur tangan daripada pihak polis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram