SEORANG wanita bersama tiga saudaranya dihadapkan di mahkamah dan didakwa atas pertuduhan membunuh susulan penemuan mayat kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di sebuah padang rumput di Hyogo, Jepun pada Jun lalu.
Kanak-kanak malang itu, Nao Hosaka dikatakan dipukul hingga mati dan mayatnya disumbat dalam sebuah beg pakaian sebelum dibuang di sebuah kawasan lapang berhampiran rumahnya.
Suspek yang dikenal pasti ialah ibu mangsa berusia 34 tahun, bapa saudaranya berusia 32 tahun dan dua ibu saudaranya iaitu pasangan kembar yang masing-masing berusia 30 tahun.
Kesemua suspek tinggal bersama mangsa dan neneknya di sebuah pangsapuri.
Ibu mangsa sebelum itu dilaporkan membawa polis ke lokasi di mana mayat mangsa dibuang.
Nao Hosaka (kiri) dikatakan dipukul hingga mati oleh keluarganya sendiri. — Agensi
Dalam satu rakaman visual kamera litar tertutup kamera television litar tertutup (CCTV), kesemua suspek dilihat membawa beg pakaian terbabit kira-kira pukul 5 petang pada 19 Jun lalu.
Polis mengesyaki mangsa dipukul hingga maut dengan batang besi pada hari yang sama.
Melalui siasatan awal yang dilakukan, terdapat penemuan banyak kesan lebam terutama di bahagian belakang mangsa.
Polis percaya Nao menjadi mangsa dera keluarganya dan perbuatan kejam tersebut dilakukan setiap hari.
Lebih menyedihkan lagi, nenek mangsa dipercayai turut menjadi mangsa dera apabila dipukul dengan batang besi dan dikurung dalam almari.
Dia bagaimanapun kini dalam perlindungan pihak berkuasa selepas dapat melarikan diri pada 20 Jun lalu.
Kesemua suspek yang ditahan semula pada 13 Julai lalu bakal berdepan tuduhan tambahan termasuk meninggalkan mayat mangsa dan gagal membawa mangsa ke hospital. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram