ORANG awam di kawasan premis perniagaan di Bandar Baru Nilai, Seremban, Negeri Sembilan panik seketika selepas digemparkan dengan penemuan sebuah beg pakaian yang didakwa berisi bom pada Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mat Ghani Lateh berkata, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam iaitu seorang wanita pada pukul 1 tengah hari Isnin memaklumkan terdapat satu beg pakaian yang mencurigakan ditinggalkan di hadapan premis perniagaan tersebut.
" Sususlan daripada laporan tersebut, anggota yang bertugas diarahkan untuk ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
" Pasukan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga dipanggil untuk membantu siasatan di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Tambah Mat Ghani lagi, beg yang ditinggalkan dimusnahkan mengikut prosedur operasi standard sedia ada dan hasil pemeriksaan mendapati di dalam beg tersebut hanya mengandungi pakaian.
“Tiada penemuan sebarang bom di dalam beg tersebut dan dipercayai beg itu tertinggal kerana tempat kejadian merupakan pusat transit bas ekspres bagi kawasan Nilai.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang mendatangkan kegusaran,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram