Wanita Myanmar cedera bungkusan di belakang kedai meletup di Langkawi


  • 112
  • Sabtu, 22 Jul 2023

Keadaan di lokasi di mana bungkusan yang diterima mangsa meletup dalam kejadian di belakang sebuah restoran di Jalan Pantai Cenang, pada Sabtu. — Ihsan PDRM

SEORANG wanita warga Myanmar cedera selepas membuka satu bungkusan yang dijumpai di bahagian belakang restoran yang disewanya di Jalan Pantai Cenang, Langkawi, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 10.27 pagi.

"Mangsa yang berusia 26 tahun itu mengusahakan kedai makan miliknya dengan menyewa bahagian belakang restoran berkenaan.

"Letupan daripada bungkusan itu telah menyebabkan mangsa cedera pada bahagian muka dan badan serta mangsa telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan keadaannya stabil.

"Unit Pemusnah Bom dan Unit Anjing Pengesan telah digerakkan ke lokasi kejadian. Buat masa ini kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Shariman berkata, pihak polis giat mengesan suspek dan sedang mengenal pasti motif kejadian berkenaan.

Terdahulu, kejadian itu turut tular menerusi media sosial memaparkan sebuah kotak yang didakwa berisi bom, meletup menyebabkan pemilik kedai berkenaan mengalami kecederaan teruk. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram





polis, Langkawi, kotak, bungkusan meletup, Myanmar