SEORANG pekerja KDEBWM (KDEB Waste Management) membidas kenyataan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Gombak, Mohamad Suffi Kamari yang mendakwa mereka tidak menjalankan tugas mengutip sampah di sebuah kawasan Hulu Langat baru-baru ini.
Video tular tersebut turut dimuat naik di akaun Twitter @aponakdikato pada Isnin dan menerima pelbagai reaksi daripada warga maya.
"Respons pekerja KDEB sendiri bila pemuda PAS, Suffi Kamari hina pekerja KDEB kata tak buat kerja kutip sampah.
"Macam ini ke nak suruh rakyat Selangor undi Perikatan Nasional (PN), sudah la pekerja kena hina selepas itu minta undi.
"Silap haribulan, PN yang kena humban dalam tong sampah selepas 12 Ogos nanti," ciapnya.
Dalam video berdurasi dua minit lebih berkenaan, lelaki berkenaan meluahkan rasa kecewa apabila pihaknya dituduh tidak mengambil sampah di kawasan Hulu Langat.
Tangkap layar video menunjukkan kawasan Batu 18 Hulu Langat, Selangor yang sudahpun dibersihkan. — Twitter/ Amirudin
"Saya bercakap atas dasar untuk membela diri saya sendiri. Setiap lori ada sistem posisi sejagat (GPS) dan setiap kawasan yang kami berhenti akan terus direkodkan dalam data.
"Pada masa sama, bila kami membuat kutipan sampah, kami akan mengambil gambar atau video di kawasan tersebut. Ada tarikh, masa dan nama tempat untuk kawasan-kawasan berkenaan," katanya.
Tambah lelaki berkenaan lagi, sekiranya Suffi inginkan gambar atau video pihaknya sedang melakukan pembersihan di kawasan Hulu Langat, dia boleh memberikannya.
"Saya ada bukti kukuh, abang (Suffi) cakap kami tidak buat kutipan sampah di kawasan tersebut, abang silap sebenarnya.
"Kalau abang nak video, saya boleh kongsi.
"Abang datang pukul 5 lebih petang, memang tong sampah akan penuh. Cuba abang datang pagi, sedangkan saya pada ketika ini pukul 11. 16 pagi masih lagi berada di kawasan Hulu Langat.
"Waktu keluar pukul 12 pun masih banyak sampah," katanya dengan sinis.
Suffi mendakwa kerajaan negeri tidak mengambil serius tentang isu pengurusan sampah di kawasan Hulu Langat. — Twitter
Suffi sebelum ini memuat naik video tentang kekecewaannya mengenai lambakan sampah di Batu 18 Hulu Langat pada Ahad lalu.
Menerusi video itu, Suffi mendakwa kerajaan negeri tidak mengambil serius tentang isu pengurusan sampah dan hanya bertindak selepas dia menularkan video di kawasan tersebut.
Terdahulu, Majoriti melaporkan Menteri Besar Selangor, menafikan dakwaan Kerajaan Selangor menolak dakwaan bahawa tidak mengambil serius isu sampah di Batu 18 Hulu Langat oleh Suffi pada Ahad.
Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dakwaan seorang pengguna Twitter itu dibuat pukul 3 pagi sedangkan sampah dikutip setiap hari antara pukul 5 hingga 8 pagi.
Menurut beliau, jumlah sampah di kawasan itu tinggi berikutan terdapat banyak tapak perkhemahan dan pusat peranginan di sekitarnya.
"Saudara datang pukul 3 pagi mengadu sampah tidak dikutip sedangkan memang lori sampah datang setiap pagi antara 5 hingga 8 pagi untuk kutip sampah.
"KDEBWM sentiasa melaksanakan kutipan berjadual (di tapak pembuangan sampah) setiap hari," katanya dalam satu maklum balas di Twitter pada Ahad.
Naib Presiden PKR itu turut memuat naik satu video menunjukkan kawasan tersebut sudah dibersihkan seperti mana yang dilakukan setiap hari oleh KDEBWM. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram