SEKUMPULAN anggota tentera darat didakwa dibuli oleh anggota senior dalam kejadian di sebuah kem berpangkalan di Sungai Petani, Kedah.
Perkara itu didedahkan menerusi satu keratan laporan polis yang dikongsikan kepada media.
Menerusi laporan polis yang dikeluarkan pada Jumaat, anggota-anggota junior tersebut dipercayai dicederakan oleh seorang anggota berpangkat koperal.
"Pada 18 Julai, sekitar pukul 9 malam, saya berada di bilik bujang kem berkenaan.
"Saya bersama kawan saya seramai enam orang telah dipanggil oleh Koperal Acha untuk membuat pembersihan kawasan tersebut.
"Pada masa sama saya dah kawan diarah oleh Koperal Acha untuk berlari laju melanggar almari besi menggunakan kepala beberapa kali," katanya menerusi laporan polis tersebut.
Difahamkan pada 20 Julai lalu, mereka sekali lagi diarahkan untuk menghadap sekumpulan anggota kumpulan senior kira-kira pukul 12.01 pagi.
"Semasa berada di bilik tersebut, sekali lagi saya bersama kawan telah dipanggil oleh sekumpulan anggota kumpulan senior yang salah seorangnya dikenal dengan nama samaran Koperal Ben, saya bersama kawan lebih kurang 10 orang telah diarah berkumpul di ruang legar.
"Kami telah diarah untuk melakukan senaman side roll, berguling dan komandor rest.
"Semasa melakukan senaman ini, kami telah dipukul oleh Koperal Ben dengan cara memijak perut, ditampar di muka, menumbuk di perut dan menendang di dada," jelasnya.
Dalam pada itu katanya, mereka juga diugut oleh Koperal Ben agar tidak membuat sebarang laporan mengenai insiden itu.
Katanya, sekiranya ingkar arahan, dia tidak teragak-agak untuk mencari dan mengerjakan mereka semua di luar kawasan.
"Koperal Ben ugut saya dan kawan, kalau kamu semua buat laporan atau pergi ke pihak Resat (Rumah Sakit Angkatan Tentera) dan pihak Resat membuat laporan mengatakan kamu semua dipukul dan aku dibuang kerja, aku cari kamu semua di luar nanti, teruk kamu di luar.
"Perlakuan seperti ini telah berlanjutan beberapa hari terhadap saya dan kawan-kawan semasa berada di bilik bujang kem berkenaan yang telah dilakukan oleh sekumpulan anggota senior.
"Untuk makluman saya juga telah mengalami sakit dan kecederaan di seluruh anggota badan.
"Saya telah datang ke pondok polis di sebuah hospital di Muar, Johor untuk buat laporan polis dan mahu rujuk pihak yang berkenaan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya dan buat rawatan di hospital," katanya.
Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar mengesahkan ada menerima laporan berkenaan, namun akan merujuk kes itu di tempat kejadian yang mana berlaku di Sungai Petani. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram