Tiba-tiba meracau, ibu nampak abang cekik adik dalam CCTV


  • Tular
  • Rabu, 05 Jul 2023

Kejadian dilaporkan berlaku di rumah kedua-dua beradik itu di Kampung Bukit Piatu.

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut apabila dipercayai dicekik abang kandungnya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Bukit Piatu, kira-kira pukul 12 tengah hari, Rabu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata , polis masih menjalankan siasatan dan akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu dalam masa terdekat.

Difahamkan suspek berusia 14 tahun itu kini dalam tahanan polis.

"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan serta menjaga sensitiviti keluarga," katanya ketika dihubungi, seperti dilaporkan Bernama.

Sementara itu, jiran-jiran yang ditemu bual menyuarakan rasa terkejut dengan kejadian itu.

Memetik laporan media, saksi yang juga jiran mangsa, Qhurun Ain Johani, 31, berkata, tragedi itu disedari oleh ibu mangsa yang melihat kejadian menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

“Ibu mereka yang ketika itu sedang bekerja telah menghubungi saya meminta bantuan memeriksa keadaan dua beradik itu kerana dia melihat abangnya sedang mencekik mangsa di aplikasi CCTV.

“Sebaik sahaja saya masuk ke dalam rumah, saya menjerit bila nampak si abang sedang mencekik leher adiknya yang telah pucat dan dipercayai tidak bernyawa.

Tambahnya, ketika kejadian, abang mangsa seakan-akan tidak menyedari perbuatannya sehingga dia terpaksa menepis kuat genggaman tangan remaja berkenaan.

Ujarnya, mangsa merupakan anak ketiga daripada empat beradik, manakala suspek adalah anak sulung keluarga tersebut.

Jelasnya, ketika kejadian dua beradik yang lain sedang bersekolah, manakala mangsa mengalami sakit mata dan tinggal bersama abangnya.

“Saya tak sangka kejadian ini berlaku di depan mata kerana abangnya sebelum ini memang budak yang baik.

“Cuma baru-baru ini dia mengalami trauma kerana mendakwa menjadi mangsa buli di sekolah dan meracau, namun dikatakan telah sembuh selepas dibawa berubat,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram