POLIS akan memanggil penganjur Festival 'Good Vibes 2023' pada Sabtu untuk memberikan keterangan berhubung tindakan kontroversi kumpulan pemuzik Britain, The 1975 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Kuala Lumpur pada Jumaat malam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, walaupun tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu, beliau memaklumkan pihaknya sedang meneliti perkara itu.
“Kami tidak menerima sebarang laporan polis tetapi kami sedang membuat siasatan bagi mengenal pasti sebarang kesalahan yang dilakukan.
"Kami juga akan memanggil penganjur hari ini (Sabtu)," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Dalam pada itu, Hussein berkata, ketika konsert itu berlangsung di SIC siasatan akan dijalankan oleh polis KLIA.
"Kami akan menyiasat perkara itu dengan teliti," katanya.
Pada Sabtu, media melaporkan penganjur 'Good Vibes Festival 2023' diarahkan untuk memberi penjelasan susulan tindakan kumpulan The 1975 yang membuat aksi kurang sopan dalam konsert yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Kuala Lumpur pada Jumaat malam.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam perkongsian di Twitter turut memaklumkan akan berhubung dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan laporan penuh insiden itu. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram