Jurulatih cedera parah disahkan jadi mangsa korban kedua letupan bom lempar


  • Primer
  • Isnin, 26 Jun 2023

Hantaran ucapan takziah oleh Mohamad Hasan kepada kedua-dua keluarga anggota TUDM yang terkorban dalam insiden pada Ahad itu.

SEORANG lagi anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam insiden bom lempar meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan pada Ahad dilaporkan meninggal dunia.

Berita sedih itu dikongsikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan di hantaran Facebooknya yang turut melahirkan ucapan takziah kepada kedua-dua keluarga anggota terbabit dalam kejadian tersebut.

"Mendapat perkhabaran duka kejadian letupan bom lempar yang mengorbankan seorang jurulatih dan seorang penuntut dari Institut Pentadbiran Dan Pengajian Pangkalan Udara Sendayan (Instar) semasa latihan menembak senjata dan bom lempar di Kem Syed Sirajuddin, petang tadi (Ahad).

“Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham Koperal Udara Mohd Syuib Bidin dan Leftenan Udara I Mohd Iqmal Masdi.

“Gugurnya perajurit dalam latihan demi mempertahankan negara. Semoga ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan keredaan dengan ketentuan ALLAH jua,” katanya.

TUDM sebelum itu dalam kenyataan pada petang tadi mengesahkan seorang anggota TUDM maut manakala dua lagi jurulatih cedera parah selepas bom lempar meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin pada Ahad.

Bagaimanapun, dengan perkembangan itu, ia menjadikan korban insiden tersebut meningkat kepada dua orang.

Menerusi kenyataan sama, TUDM memaklumkan pihaknya akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram