SEBUAH syarikat pengendali umrah tampil memberikan penjelasan berhubung isu ditimbulkan beberapa bakal jemaah yang dipercayai menggunakan perkhidmatan syarikat itu sebelum ini.
EMRAZ Travel & Tours Sdn Bhd (EMRAZ) dalam satu kenyataan berkata, setakat Januari sehingga Februari tahun ini, pihaknya telah menerbangkan seramai 6,445 jemaah untuk menunaikan umrah di Tanah Suci.
Bagaimanapun, seperti pengendali lain, syarikat itu memaklumkan turut mengalami kesukaran sejak belakangan ini antaranya untuk mendapatkan tiket penerbangan ke Arab Saudi dan memastikan penginapan jemaah di Mekah serta Madinah.
"Lebih-lebih lagi, ketika ini berlaku pertembungan cuti persekolahan di Arab Saudi bermula 2 hingga 11 Mac dan cuti persekolahan di Malaysia menyebabkan ramai mengambil peluang menunaikan ibadah umrah sehingga bilik ditempah lebih awal tidak diperoleh.
"Ini merupakan kali pertama keadaan seumpama ini berlaku. Terdapat juga situasi di mana ketika kami mempunyai tiket penerbangan tetapi ketiadaan tempat penginapan dan begitu juga sebaliknya.
"Selain itu, pihak hotel di sana juga gemar menaikkan harga bilik sewenang-wenangnya di saat-saat akhir," menurut kenyataan itu.
EMRAZ memaklumkan pihaknya telah menerbangkan seramai 6,445 jemaah untuk menunaikan umrah di Tanah Suci untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini.—EMRAZ
Dalam pada itu, EMRAZ berkata, memandangkan pihaknya memberikan tumpuan kepada penyediaan hotel lima bintang dan berjarak 50 meter dari Masjidil Haram serta Masjid Nabawi, syarikat itu turut mengalami kesukaran mendapatkan bilik pada harga seperti ditawarkan dalam pakej umrah sebelum ini.
Katanya, ini kerana pihak hotel di negara itu gemar menaikkan harga bilik sewenang-wenangnya di saat-saat akhir.
"Namun begitu, EMRAZ sentiasa berpegang pada janji untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua jemaah kami. Kami mengambil pelbagai alternatif antaranya menyediakan tiket penerbangan secara transit.
"Malah, ada juga jemaah dinaik taraf pakej umrah mereka kepada umrah ziarah melibatkan penerbangan transit di Dubai dan Riyadh sekali gus dapat melancong secara percuma di sana.
"Selain itu, EMRAZ turut menaik taraf hotel penginapan dan penerbangan ke kelas perniagaan tanpa mengenakan sebarang kos tambahan bagi keselesaan jemaah di samping menambah bilangan hari pakej di Tanah Suci serta bermalam di Taif secara percuma," ujar kenyataan itu lagi.
Syarikat tersebut memaklumkan, pihaknya juga memperuntukkan perbelanjaan tambahan kira-kira RM3,000 bagi setiap seorang jemaah di bawah kendaliannya untuk menaik taraf kemudahan disediakan.
"Situasi yang berlaku ketika ini adalah di luar kawalan syarikat. Kami juga berbincang dengan beberapa buah hotel lain di Makkah dan Madinah bagi mendapatkan bilik penginapan mencukupi untuk menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah.
"Kami berharap segala usaha yang telah dilakukan dapat meningkatkan lagi keselesaaan para jemaah yang ingin menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci," katanya.
Sementara itu, EMRAZ memaklumkan pengurusan syarikat itu sentiasa patuh kepada Akta Kementerian Pelancongan dan Budaya (MOTAC) dan tidak bertindak sewenang-wenangnya sehingga mengabaikan kebajikan jemaah.
Syarikat tersebut memaklumkan, pihaknya juga membelanjakan kira-kira RM3,000 bagi setiap seorang jemaah untuk kemudahan dan naik taraf kebajikan jemaah dikendalikannya. — EMRAZ
Sehubungan itu, pengendali umrah itu mengingatkan kepada mana-mana pihak supaya terlebhi dahulu mendapatkan maklumat penjelasan sahih daripada syarikat sebelum membuat sebarang spekulasi.
"Pihak pengurusan EMRAZ juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak menyebarkan maklumat berunsur fitnah dan berniat jahat sehingga menjejaskan reputasi syarikat," ujarnya.
Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai kisah sebuah agensi pelancongan didakwa membuat 'onar' sehingga menyebabkan mangsa melakukan tunjuk perasaan di ibu pejabat syarikat berkenaan yang terletak di Putrajaya.
Susulan daripada itu, media turut melaporkan mengenai aduan beberapa bakal jemaah yang berasa tertipu selepas pengendali perkhidmatan ibadah itu didakwa membatalkan perjalanan masing-masing untuk menunaikan umrah.
Jemaah terbabit mendakwa. agensi tersebut juga mengambil masa untuk memproses pembayaran semula wang diberikan.
Ada antaranya turut mendakwa menanggung kerugian sebanyak RM95,000 selepas melakukan segala persiapan diperlukan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram