'Short notice' tangguh umrah bikin agensi rugi besar


  • Massa
  • Sabtu, 01 Jan 2022

JEMAAH umrah mengerjakan solat di Masjidil Haram, Arab Saudi baru-baru ini. — AFP

PENGUMUMAN kerajaan untuk menangguhkan perjalanan umrah bermula 8 Januari mengejutkan para jemaah dan agensi pengurusan umrah di negara ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif EMRAZ Travel & Tours, Dr Zulkarnain Endut, pengumuman yang dibuat pada masa yang singkat ini menyebabkan kedua-dua pihak mengalami kerugian besar.

"Ini satu kejutan yang besar kepada para jemaah. Sebenarnya kebanyakan jemaah yang diterbangkan merupakan jemaah yang memang tertangguh perjalanan sejak Mac 2020.

"Jadi perjalanan mereka akan tertangguh sekali lagi. Bagi mereka, mungkin ada yang sudah mengambil cuti, menempah tiket penerbangan domestik dan sebagainya.

"Bagi ejen pelancongan seperti kami, kita berhadapan dengan hubungan perniagaan bukan di negara sendiri, kebanyakannya di Arab Saudi.

"Apabila kami sudah melakukan pembayaran, kami tidak dapat pemulangan wang tersebut. Kalau kita bernasib baik, mungkin perjalanan itu boleh dibawa ke depan.

"Ini satu kerugian besar bagi ejen pelancongan, sama seperti apa kami lalui pada Mac 2020," ujarnya kepada Majoriti.

Pada Sabtu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini.

Penangguhan tersebut dibuat mengikut data sehingga 30 Disember lalu, sebanyak 11,108 jemaah umrah tiba di Malaysia dan 1,306 daripadanya didapati positif Covid-19.

Tambah Zulkarnain, pihaknya mengharapkan penangguhan tersebut hanya bersifat sementara.

"Aktiviti lain tidak ditangguhkan, saya lihat sukan bola sepak seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) penuh stadium dan konsert di Dubai, mereka tidak membuat penangguhan, cuma menyeru rakyatnya mengambil dos penggalak serta memakai pelitup muka.

"Sepatutnya umrah ini tidak perlu ditangguh, cuma mengambil langkah mengetatkan prosedur operasi standard (SOP).

"Industri pelancongan umrah memiliki rantaian bekalan yang sangat besar jadi langkah kerajaan itu hanya merosakkan industri ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram