SPRM tahan pegawai Perkeso disyaki terima suapan lulus insentif pengambilan kerja


  • Primer
  • Jumaat, 19 Mei 2023

SPRM menahan seorang pegawai Perkeso menerusi Ops Hire 2.0 pada Khamis.

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) mengesahkan penahanan seorang pegawai agensi itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Ops Hire 2.0 pada Khamis.

Perkeso dalam satu kenyataan memaklumkan, penahanan itu bertujuan membantu siasatan berhubung insentif pengambilan pekerja bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana).

Menurutnya, pegawai terbabit disyaki terlibat menerima suapan bagi meluluskan permohonan tuntutan Program Insentif Pengambilan Pekerja di bawah Penjana.

"Sehubungan itu, pihak kami menegaskan bahawa Perkeso tidak akan mencampuri urusan tersebut dan memberi kerjasama serta menyerahkan sepenuhnya kepada pihak SPRM untuk menjalankan penyiasatan ke atas pegawai berkenaan sehingga selesai," katanya pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM telah menahan seorang pegawai perkhidmatan sebuah agensi selepas disyaki terbabit menerima wang habuan ribuan ringgit daripada seorang pemilik syarikat sebagai upah meluluskan permohonan tuntutan Program Insentif Pengambilan Pekerja di bawah program Penjana bernilai kira-kira RM1.3 juta. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram