Calon otai PRN, netizen persoal ketandusan pemimpin 3 gabungan utama di peringkat bahagian, negeri


  • Politik
  • Isnin, 17 Jul 2023

SPR menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam Pilihan Raya Negeri.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Walaupun senarai calon yang akan bertanding dalam pilihan raya itu nanti masih belum diumumkan secara rasmi, sudah terdapat beberapa pemimpin yang memberi bayangan bahawa mereka akan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

Ada yang tekad untuk mempertahankan DUN masing-masing, tidak kurang juga yang menyuarakan hasrat untuk bertanding di kawasan baharu.

Ini termasuk beberapa pemimpin otai yang sudah lama menabur khidmat sebagai wakil rakyat.

Bagaimanapun, sebelum ini, terdapat pakar yang berpandangan, tempoh khidmat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) diterajui pemimpin politik berstatus veteran perlu dihadkan bagi mengelakkan salah guna kuasa dalam kedudukan mereka.

Selain itu, ia juga bertujuan memberi peluang kepada muka baharu untuk bertanding serta memastikan negara terus diterajui individu yang mempunyai idea baharu dekat di hati rakyat.

Penganalisis Politik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi turut menyifatkan perkara itu wajar dilaksanakan kerana segelintir ahli politik di Malaysia dilihat sudah terlalu lama berkhidmat.

Mereka seolah-olah enggan memberi peluang kepada orang lain untuk mengambil tampuk pemerintahan, selain gagal memberikan idea baharu.

Sehubungan itu, menjelang PRN ini, berikut Majoriti senaraikan tiga pemimpin 'otai' yang berhasrat untuk bertanding atas tiket parti masing-masing dalam PRN akan datang.

1. Datuk Seri Mohamad Hasan

Tok Mat berjaya memenangi kerusi Parlimen Rembau pada PRU15 lalu.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini meluahkan hasrat untuk mempertahankan kerusi DUN Rantau di Negeri Sembilan pada PRN ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau mengakui dirinya bersedia memberi laluan kepada muka baru, namun setakat ini tiada calon lain mahu bertanding di kerusi yang dimenanginya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2004.

"Saya akan buat keputusan sewajarnya sebelum 29 Julai ini, setakat hari ini tiada siapa yang mahu, saya nak tonjolkan muka baru, tapi mereka sendiri menolak,” katanya.

Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dengan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menguasai 20 manakala bakinya dikuasai BN.

Umno dijangka meletakkan calon di kerusi DUN Pertang, Sungai Lui, Serting, Palong, Juasseh, Seri Menanti, Senaling, Johol, Chembong, Kota, Bagan Pinang, Linggi, Gemas, Gemencheh dan Rantau.

Untuk rekod, Mohamad Hasan yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berjaya memenangi kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekali gus mempertahankan kerusi yang menjadi milik BN sejak tiga penggal lalu.

Sebelum ini Parlimen tersebut disandang Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang pada ketika itu bertanding di Parlimen Sungai Buloh.

Tok Mat memperoleh 53,075 undi menewaskan empat pencabar lain dengan majoriti 19,897 undi.

2. Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Karier politik Azmin bermula apabila dipilih menjadi Adun Hulu Kelang dari 1999 hingga 2004.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali secara peribadi meluahkan keinginannya untuk berehat daripada dunia politik.

Bagaimanapun, baru-baru ini beliau dilaporkan bakal bertanding pada PRN akan datang sekiranya diarahkan oleh kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ujarnya, pendirian tersebut dibuat enam bulan lalu selepas PRU15 dengan mengambil kira dirinya sudah menjadi wakil rakyat sejak 1999.

Untuk rekod, karier politik Azmin bermula apabila dipilih menjadi Adun Hulu Kelang dari 1999 hingga 2004.

Beliau kemudian diberi peluang untuk menjadi Adun Bukit Antarabangsa sehingga kini dan Ahli Parlimen Gombak bermula 2008 hingga November tahun lepas.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang berpaling tadah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gombak yang disandang sejak 2004 setelah kecundang di tangan anak didiknya, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun, abang kandung kepada selebriti sensasi tanah air, Azwan Ali itu mengingatkan Amirudin agar tidak 'sombong' dengan kemenangan yang diperoleh di Gombak pada PRU15 lalu.

Ini kerana katanya, kekalahannya di parlimen berkenaan kepada Amirudin tidak bermakna dia akan tewas dalam PRN akan datang.

"Saya reda dengan kekalahan di Gombak. Mudah-mudahan ini peluang untuk saya muhasabah, tetapi saya nak ingatkan kepada Amirudin, kalah satu pilihan raya tidak bermakna kita akan kalah dalam pilihan raya akan datang," ujarnya.

3. Datuk Seri Shahidan Kassim

Shahidan dikatakan bakal bertanding di kerusi DUN Semenyih.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim disebut antara calon yang bakal diketengahkan dalam PRN di Selangor.

Beliau dikatakan bakal bertanding di kerusi DUN Semenyih.

Kelibatnya yang dilihat kerap berada di kawasan itu menguatkan lagi desas-desus bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis itu bakal bertanding di kawasan majoriti Melayu tersebut.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bertanding di Selangor sekiranya kepemimpinan PN memberi kepercayaan kepadanya.

Auranya yang membantu PN menyapu bersih 17 daripada 18 kerusi dalam PRU15 di Perlis dilihat mampu mengukuhkan lagi kekuatan gabungan parti itu dalam misi menawan Selangor. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram