'Tak boleh cerita pasal kalah', MB Selangor yakin menang dua pertiga kerusi DUN menjelang PRN


  • Politik
  • Isnin, 19 Jun 2023

Amirudin (enam dari kanan) bersama barisan kepimpinan kerajaan Selangor semasa Sidang Media Khas Lima Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor di Foyer Bangunan SUK Selangor pada Isnin.  — Bernama

KERAJAAN Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH) terus menyatakan keyakinan untuk mengekalkan tampuk kepimpinannya di negeri tersebut selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara tersebut adalah berdasarkan data dan maklumat yang dikutip sebelum ini menerusi pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk membantu rakyat.

Menurutnya, kerajaan Selangor turut bersikap telus dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit tanpa perlu berselindung.

"Nak bertanding ni cerita pasal kalah ni tidak boleh, kita perlu bertanding, tengok situasi dan perlu hormat kuasa rakyat. Saya yakin pentadbiran ini sentiasa menitikberatkan tadbir urus yang baik dalam pengurusan kerajaan di semua peringkat.

"Jadi apa-apa pun perkara (isu berbangkit) tidak ada perlu dirahsiakan, hampir semuanya kita jawab secara berdepan tanpa cuba sorok bawah selimut atau keluar melalui pintu belakang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sidang Media Khas Lima Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor di Foyer Bangunan SUK Selangor, Shah Alam, Selangor pada Isnin.

SHAH ALAM, 19 Jun -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) mengadakan Sidang Akhbar Khas Sempena Lima Tahun Pentadbiran Menteri Besar Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Haris Kasim (kanan) dan Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim (kiri).-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Amirudin (tengah) semasa Sidang Media Khas Lima Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor di Foyer Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada Isnin. — Bernama

Dalam pada itu, Amirudin turut mengulas mengenai bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang didakwa layak memimpin kempen parti Perikatan Nasional (PN) di Selangor dalam PRN kelak.

Meskipun terus mengulangi keyakinannya untuk terus mempertahankan kubu kuat PH di Selangor, beliau menghormati perkara tersebut sebagai salah satu strategi PN untuk merampas negeri berkenaan.

"Saya percaya dengan kekukuhan kita (PH) dalam pilihan raya lalu, majoriti kerusi masih dimenangi PH. Jadi saya percaya prestasi itu menunjukkan kubu PH masih kukuh di Selangor dan kita tidak memandang rendah kepada usaha dan ikhtiar mereka.

"Sebab itu dari semasa ke semasa, daripada aktiviti fizikal hingga ke media sosial, usaha penerangan kepada rakyat terus ditingkatkan," katanya.

Pada Isnin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk menandatangani pengisytiharan pembubaran DUN Selangor di Istana Alam Shah pada Isnin.

Amirudin sebelum itu menghadap Sultan Selangor sebelum pengisytiharan dibuat.

Pembubaran DUN Selangor penggal ke-14 itu akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) oleh Speaker DUN, Ng Suee Lim.

Susulan daripada itu, pilihan raya di negeri itu mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran dan pengundian perlu diadakan selewat-lewatnya pada 23 Ogos. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram