[VIDEO] Abam treler ala 'GTA' jadi hero, bantu polis halang Isuzu dipandu penjenayah berbahaya


  • Tular
  • Sabtu, 15 Jul 2023

Tangkap layar kejadian pemandu treler membantu anggota polis yang sedang menahan sekumpulan lelaki dipercayai penjenayah di Lebuhraya Silk.

TINDAKAN seorang pemandu treler membantu anggota polis dalam usaha menahan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki sekumpulan lelaki dipercayai penjenayah mendapat pujian warga maya.

Difahamkan kejadian itu berlaku di Lebuhraya Kajang Silk, Selangor dan dimuat naik di laman media sosial pada Sabtu.

Video berdurasi dua minit berkenaan memaparkan treler tersebut melanggar bahagian tepi Toyota Hilux itu, dipercayai bertujuan memberhentikan kereta yang dipandu suspek.

Tidak lama kemudian, anggota polis dilihat bergegas keluar dan memberkas beberapa lelaki dan membawa mereka masuk ke dalam kenderaan polis tersebut.

Bagaimanapun, masa sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet memuji tindakan berani yang diambil pemandu treler dan juga kecekapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan tugas.

Ada juga menyifatkan tindakan pemandu treler berkenaan tidak ubah seperti permainan video Grand Theft Auto (GTA).

"Terbaik abang-abang PDRM dalam menjalankan tugas, kekal tenang dan cekap," kata Mohd Hamidi.

"Terima kasih kepada pemandu lori kerana menghalang laluan kereta penjenayah itu, tiada jalan untuk keluar," tulis Erica Tan Geok Kian.

Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram