Poster 'Belanja Dapur Sebulan' J-KOM dikritik, pengarah akui ada kesilapan


  • Massa
  • Khamis, 13 Jul 2023

Poster 'Belanja Dapur Sebulan' yang dimuat naik J-KOM sebelum ini mengundang kecaman warga maya. — Facebook/J-KOM

POSTER yang dihasilkan oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) berkait isi rumah bersama dua anak mampu menampung perbelanjaan dapur pada kadar RM391 sebulan mendapat sindiran dan kritikan ramai.

Malah ada yang menyifatkan poster tersebut tidak masuk akal memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu serta kenaikan harga barang ketika ini.

Dalam infografik berkenaan yang dimuat naik pada Rabu itu, J-KOM menyenarai enam barang dapur yang boleh dibeli isi rumah itu dengan bergantung kepada gaji minimum RM1,500.

Menurut infografik yang disediakan itu, barangan yang meliputi dua ayam seberat dua kilogram (kg) berharga RM37.60; beras (RM38/10kg); dua minyak masak (RM6.90/1kg); telur sepapan 30 biji (RM14); dua roti buku jumbo RM8.60, dan satu tong gas RM19 untuk kegunaan sebulan dikatakan 'mengarut'.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meninggalkan komen dan sindiran pedas terhadap poster tersebut.

jkom baru

Selepas menerima kecaman ramai, J-KOM bertindak memuat naik poster yang baharu di laman Facebooknya.

Seorang pengguna media sosial, Herman Rani mempersoalkan pegawai J-KOM yang menghasilkan poster berkenaan.

"Ada ke barang murah seperti ini dulu? Siapa buat jadual poster ini? Macam mana kamu buat pengiraan?

"Saya boleh katakan ini tidak betul dan kamu mendakwa yang barang semua tempat adalah murah.

"Mana kamu tahu ini harganya? Harga di setiap tempat berlainan dan harga sering diubah serta selalu ada kenaikan.

"Jadi saya tak rasa apa yang awak formulakan ini betul? Tetapi kalau akan berlaku penurunan harga barang yang awak senarai ini. Mungkin akan membantu sedikit sebanyak orang yang tak berapa mampu... jadi saya nak tanya bila harga ini akan dilangsungkan atau sekadar kira-kira?," tulisnya.

Seorang lagi pengguna warga maya, Ruhaya Halim turut mengecam info yang ditulis dalam poster berkenaan.

"Tak logik langsung! Sila tarik balik poster ini kerana infonya menyakitkan hati banyak pihak," katanya.

KUALA NERUS, 14 Mei –– Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berucap pada Program Townhall Ikon Madani di Universiti Malaysia Terengganu hari ini.Program Jelajah Ikon Madani (IKON) merupakan program inisiatif J-KOM, Jabatan Perdana Menteri dan PRIHATIN berkonsepkan bual bicara yang menyasarkan pelajar-pelajar baru dan graduan di Institusi Pendidikan Tinggi.––fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusuff

Pengguna Facebook, Hafiz Hiew pula berkata, “Adakala lebih baik usah buat poster begitu daripada buat. Terima sahaja hakikatnya kos harga barangan sudah meningkat dan tidak perlu berselindung lagi.”

Katanya, kenaikan kos perlu diakui masalah global dan ia perlu dihadapi bersama serta memerlukan perbincangan, penerimaan kritikan dan berlapang dada.

Dalam perkembangan lain, selepas menerima pelbagai kritikan dan kecaman, J-KOM memuat naik satu lagi poster dan membetulkan beberapa harga dalam senarai tersebut.

Sementara itu, memetik laporan The Star pada Khamis, Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusuff tampil pada Khamis mengakui terdapat kesalahan dari pihaknya hingga mencetuskan pertikaian dalam kalangan masyarakat, selain mengakui bahawa tajuk dan penjelasan yang ada pada poster berkenaan agak mengelirukan.

Jelasnya lagi, perkara yang disenaraikan dalam infografik berkenaan adalah tidak logik sekiranya ia merupakan senarai pembelian sekeluarga yang terdiri daripada empat orang.

Menurutnya, jumlah RM391 tersebut hanya untuk menampung barang-barang keperluan keluarga (empat orang) dan bukan keseluruhan senarai runcit.

"Selain itu, infografik tersebut juga bertujuan menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa bil runcit akan dinaikkan daripada RM200 kepada RM500," tambah Agus lagi.

Dalam masa yang sama, ketua pengarah berkenaan berkata, senarai barangan yang ada dalam infografik berkenaan hanyalah barangan keperluan yang menerima subsidi atau dalam senarai barangan harga terkawal dan bukannya perbelanjaan bulanan sebuah keluarga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram