Guru taska mengaku tidak bersalah abaikan kanak-kanak lemas di Ipoh


Esther Christina mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

SEORANG guru taska dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu atas tuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang lemas dalam kolam renang, pada April lalu.

Tertuduh, Esther Christina Samuel Ponniah, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa meninggalkan seorang kanak-kanak, V. Thanes Nair, yang di bawah jagaannya, tanpa pengawasan dan pemeliharaan untuk satu tempoh yang tidak sepatutnya.

Kejadian itu berlaku di sebuah kolam renang dekat Bandar Baru Sri Klebang pada pukul 10.20 pagi pada 17 April lalu.

Guru taska itu didakwa di bawah Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Syahirah Azahar mengarahkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah RM6,000 sebelum peguambela tertuduh, Gary Xavier merayu jumlah tersebut dikurangkan.

Gary meminta sedemikian atas alasan anak guamnya kematian suami kira-kira tiga bulan lalu justeru menjadikan dia sebagai pencari nafkah tunggal keluarga dengan memperoleh pendapatan bulanan RM2,200 selain perlu menanggung ibunya yang berusia 80 tahun.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin selain menetapkan tarikh 23 Ogos depan untuk sebutan semula kes. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram