Guna penyapu sebagai senjata, lelaki positif dadah dipercayai pukul teman wanita hingga mati di Ipoh


  • 112
  • Ahad, 25 Jun 2023

Kejadian pembunuhan pada Ahad itu berlaku di sebuah rumah kedai di Taman Song Choon. — Bernama

SEORANG lelaki memukul teman wanitanya menggunakan batang penyapu sehingga mati selepas kedua-duanya dipercayai bergaduh di tingkat atas sebuah rumah kedai di Taman Song Choon, Ipoh, Perak pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 4.34 pagi.

"Siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati seorang perempuan Melayu berumur 24 tahun berada dalam keadaan tidak sedar diri terbaring tidur di atas katil dan berbantal.

"Mangsa tersebut disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh," katanya dalam satu kenyataan.

Yahaya berkata, polis turut menangkap teman lelaki mangsa yang juga seorang lelaki Melayu berumur 23 tahun dan mengaku memukul mangsa.

WhatsApp Image 2023-06-25 at 4.23.54 PM

Antara anggota polis yang berada di tempat kejadian untuk melakukan siasatan. — Bernama

Ujarnya, tiga individu lain yang berada di tempat kejadian turut ditahan berusia antara 29 hingga 65 tahun yang berada di tempat kejadian.

Beliau berkata, ujian air saringan air kencing dijalankan terhadap keempat-empat suspek mendapati suspek pertama iaitu tema lelaki mangsa positif dadah jenis methamphetamine.

Yahaya memaklumkan kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Pihak siasatan berjaya memperolehi perintah tahanan reman terhadap keempat-empat suspek selama tujuh hari dari 25 Jun sehingga 1 Julai 2023 untuk siasatan lanjut. Dengan tertangkapnya suspek tersebut, maka kes ini berjaya diselesaikan.

"Pihak siasatan akan melengkapkan siasatan kes ini dan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram