Selamba proses arak 'copy ori' macam jual air balang pasar malam di Skudai


  • 112
  • Selasa, 11 Jul 2023

Antara barangan yang dirampas ketika serbuan terhadap tempat pemprosesan dan penyimpanan arak tiruan di Skudai, Johor pada Ahad. — Polis Johor

SEBUAH tempat pemprosesan dan penyimpanan arak tiruan di satu premis, di Skudai, Johor diserbu polis pada Ahad yang membawa kepada rampasan bernilai RM241,000.

Lebih mengejutkan, cara pemprosesan arak 'copy ori' itu juga tak ubah seperti menjual air balang di pasar malam, bukannya seperti diproses secara terperinci di kilang-kilang industri.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata, seorang lelaki turut ditahan dalam serbuan tersebut di samping rampasan peralatan digunakan bagi memproses minuman tiruan terbabit.

Katanya, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah melakukan operasi tersebut kira-kira pukul 10.30 malam di premis berkenaan sejurus selepas mendapat maklumat.

"Suspek warga tempatan berusia 35 tahun itu kini ditahan reman selama 14 hari bermula Isnin.

"Rampasan meliputi sejumlah besar kotak berisi pelbagai jenis minuman disyaki tiruan dan peralatan untuk memproses arak tiruan di dalam premis tersebut serta barangan lain," katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram