MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan kesediaannya untuk memberikan keterangan kepada polis dan disiasat berhubung pemilikan Pulau Pinang.
Beliau berkata, segala dokumen berkaitan perkara tersebut juga akan diserahkan semasa proses tersebut.
Muhammad Sanusi yang turut memaklumkan rakaman keterangannya dijangka diambil pada petang Rabu di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah berkata, proses siasatan itu dianggap sebagai perkara biasa.
"Bukit Aman (polis) datang jumpa, itu biasalah, mereka buat kerja mereka, saya buat kerja saya, adillah," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi dilihat secara berseloroh berkata, segala dokumen membabitkan isu terbabit sudah berada di dalam beg bimbit yang dibawanya.
"Siasat di dunia ini biasa saja, apa yang saya boleh dedahkan, saya dedahkan. Dokumen ada dalam satu beg saya bawa. Nanti saya buat salinan bagi seorang satu," ujar beliau yang turut menunjukkan beg dimaksudkannya itu.
Pada Selasa, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin memaklumkan polis akan merakam keterangan Muhammad Sanusi pada Rabu berhubung kenyataannya mendakwa Pulau Pinang milik Kedah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. — Bernama
Menurutnya, rakaman kenyataan itu akan dibuat di Wisma Darul Aman yang merupakan Pejabat Menteri Besar Kedah oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman.
Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa di Parlimen berkata, Muhammad Sanusi disiasat di bawah Akta Hasutan susulan tindakannya menggesa Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya Pulau Pinang dapat dikembalikan kepada Kedah.
Kata beliau, laporan mengenai perkara itu sudah dikemukakan kepada Peguam Negara dan menunggu untuk diambil tindakan selanjutnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram