Guru sekolah rendah di Kedah didakwa seleweng duit PIBG


  • Massa
  • Isnin, 29 Mei 2023

Rakan Kongsi Pengurusan HWAM, Datuk Wan Azmir Wan Majid (kanan) dan Auni (kiri) ketika sidang media di pejabat HWAM, Kuala Lumpur pada Isnin.

SEBUAH sekolah rendah di Kedah didakwa melakukan penyelewengan terhadap akaun Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Perkara itu didedahkan sendiri oleh bekas Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (YDP) sekolah berkenaan, Auni Nazmi Azhar pada Isnin.

Semasa menjawat jawatan sebagai YDP PIBG di sekolah itu, Auni yang juga merupakan seorang usahawan kosmetik mendakwa, dia diminta bersetuju dengan pengeluaran wang berjumlah RM16,000 daripada akaun terbabit.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan firma guaman, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM), walaupun perkara itu telah dibawa ke perhatian pihak berkuasa pendidikan daerah dan negeri, serta dilaporkan kepada pihak polis, namun pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas berhubung aduan tersebut.

"YDP telah membuat aduan pertamanya kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah pada 10 Oktober 2022 mengenai kesalahan pengurusan pengeluaran wang daripada akaun PIBG.

"Pada 8 Disember 2022, YDP telah menghantar suatu lagi surat bertajuk memorandum sokongan dan tandatangan AJK PIBG sekolah tersebut bagi mendesak tindakan segera diambil demi kepentingan masa depan murid dan sekolah," katanya pada Isnin.

Mengulas mengenai rentetan kejadian tersebut, kenyataan itu memaklumkan, pihak pentadbir sekolah telah membuat pengeluaran wang sebanyak dua kali iaitu pada 26 September 2022 sebanyak RM6,000 dan pada 1 Oktober 2022, sebanyak RM10,000 tanpa mengemukakan kertas kerja.

Tambahnya, apabila YDP menggesa pihak sekolah untuk mengemukakan kertas kerja, pentadbir sekolah berkenaan telah memulangkan semula wang RM10,000 manakala lagi RM6,000 tidak dipulangkan.

"YDP telah menghadiri mesyuarat PIBG di sekolah pada 11 Januari 2023, di mana akhirnya YDP telah menerima satu kertas kerja untuk pengeluaran dan penggunaan wang bernilai RM6,000 yang diambil pada September 2022.

"Dana itu dikatakan digunakan untuk program guru-guru dan bukannya pembangunan fizikal sekolah seperti yang dinyatakan sebelum ini," jelasnya.

Katanya lagi, YDP telah menolak kertas kerja itu atas alasan ia tidak selari dengan tujuan permohonan pengeluaran wang dibuat, selain telah melanggar perlembagaan PIBG.

"Mengikut perlembagaan, dana PIBG hanya boleh digunakan untuk manfaat murid-murid. YDP telah membuat dua laporan polis pada 9 Disember 2022 dan 23 Februari 2023 mengenai perkara ini.

"Seramai 150 pelajar sekolah tersebut menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) (pelajar daripada keluarga pendapatan kapita bawah RM310) manakala sekitar 35 peratus lagi pelajar adalah daripada golongan B40.

"Ibu bapa murid-murid sekolah tersebut meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap pihak sekolah untuk menggunakan sumbangan yuran PIBG dengan baik dan ikhlas bagi kebajikan dan kepentingan anak-anak mereka," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram