SEORANG guru wanita mengalami kerugian RM30,000 selepas rantai perkahwinan yang dipakai sejak 25 tahun lalu diragut di depan pasar raya TF di Mentakab, Temerloh, Pahang pada Ahad.
Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Roslee Omar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.00 tengah hari semasa mangsa bersama anaknya baru sahaja selesai membeli barang di pasar raya tersebut.
Menurutnya, mangsa, GeethaKrishna Nair, 49, tiba-tiba didatangi suspek yang disyaki seorang lelaki sebelum meragut rantai leher dipakainya dengan menaiki motosikal jenisYamaha Y16.
"Mangsa tergamam dan tidak sempat berbuat apa-apa apabila rantai lehernya diragut manakala suspek terus memecut motosikal dinaiki dan meninggalkan tempat kejadian.
"Suspek mengenakan pakaian jaket lengan panjang warna hitam dan memakai topi keledar warna kelabu serta 'visor' gelap menutupi muka," katanya.
Menurutnya, melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berdekatan, motosikal yang digunakan peragut adalah jenis Yamaha Y16 berwarna perak, namun nombor pendaftaran tidak dapat dilihat dengan jelas.
"Mangsa memberitahu suspek telah meragut rantai perkahwinan yang dipakainya dengan berat anggaran 80 gram dan bernilai RM30,000 dalam kejadian itu," katanya yang turut memaklumkan mangsa menetap di Taman Seri Layang Heights, Mentakab, Temerloh, Pahang.
Menurut Roslee, kes di siasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram