SEORANG warga emas berdepan detik cemas selepas kereta yang dinaikinya hampir dilarikan sepasang penjenayah pada Sabtu.
Lebih memeranjatkan lagi, kejadian yang berlaku di Pasir Putih, Kelantan itu dipercayai dilakukan pasangan kekasih.
Kejadian itu juga berjaya dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV) sebuah kedai di lokasi berkenaan dan dimuat naik semula ke akaun TikTok safura_elya yang merupakan menantu perempuan warga emas tersebut pada Sabtu.
Menurut Safura, pada waktu kejadian, ibu mentuanya itu duduk di bahagian penumpang menunggu pemandu yang keluar membeli barang.
Dalam video berdurasi seminit lebih itu, kelihatan pasangan tersebut datang ke kawasan berkenaan dengan menaiki sebuah motosikal.
Lelaki tersebut dilihat memerhatikan keadaan sekeliling sebelum masuk ke kenderaan jenis Proton Saga itu tanpa menyedari ada orang di bahagian penumpang.
Difahamkan suspek cuba melarikan kenderaan itu tetapi mungkin kerana panik, dia melarikan diri dan sempat meragut beg warga emas tersebut.
Dia kemudiannya dilihat melarikan diri dari lokasi kejadian.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media daripada pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram