PEMAKAIAN pelitup muka yang sebelum ini diwajibkan di fasiliti kesihatan seperti hospital dan klinik serta perkhidmatan pengangkutan tidak lagi wajib berkuat kuasa 5 Julai depan.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, bagaimanapun peraturan pemakaian pelitup muka dikekalkan dan wajib bagi pesakit positif Covid-19 serta kakitangan kesihatan ketika berurusan dengan pesakit.
Namun begitu, ada dalam kalangan masyarakat yang berpendapat pemakaian pelitup muka di kemudahan kesihatan seperti hospital sepatutnya dikekalkan pada orang awam ketika berada di tempat-tempat tersebut kerana ia merupakan cara terbaik melindungi daripada virus atau penyakit berjangkit.
Menurut Syafinas Razak, pelitup muka merupakan satu langkah pencegahan yang penting dalam mengelakkan penyebaran penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus.
"Kita bukan berbicara tentang penyakit Covid-19 sahaja, malah ada penyakit-berjangkit yang melibatkan salur pernafasan.
"Sepatutnya penggunaan pelitup muka di fasiliti kesihatan dan tempat sesak dikekalkan.
"Pelitup muka boleh digunakan sama ada untuk melindungi orang yang sihat daripada dijangkiti atau untuk mencegah orang yang dijangkiti daripada menjangkiti orang lain," katanya.
Sementara itu, Mohd Aliff Zanal berpendapat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepatutnya menggalakkan orang ramai masih memakai pelitup muka di kawasan awam.
"KKM jangan buat keputusan terburu-buru. Malaysia masih berdepan dengan masalah Covid-19 walaupun kes tersebut sudah berkurang.
"Jangan alpa, pakai pelitup muka di kawasan awam dan fasiliti kesihatan. Saya tak setuju bila KKM tak wajibkan pakai pelitup muka ini," katanya.
Mohd Firdaus Ahmad pula mengharap KKM mengkaji semula arahan tersebut.
"Semoga KKM mengkaji balik arahan ini, semua penyakit ada di hospital. Dia nampak Covid-19 padahal penyakit tibi pun bersepah di hospital," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram