SYED Saddiq Syed Abdul Rahman membidas sekatan dilakukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor terhadap penganjuran sesi dialog yang dijadualkan berlangsung di institusi tersebut pada Khamis.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, langkah itu bertentangan dengan semangat memperjuangkan kebebasan akademik yang dibawa oleh Kerajaan semasa.
"Sebelum ini Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memberi jaminan bahawa kerajaan akan menghapuskan peruntukan dalam Akta Universiti Kolej Universiti (1971) yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah semasa sesi Dialog Anak Muda pada 19 Mac 2023.
"Saya memegang teguh kata-kata Perdana Menteri dan mengharapkan kepada keprihatinan Perdana Menteri agar budaya universiti kita dapat diubah untuk kekal menjadi tempat lahirnya pemikir dan cendiakawan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Syed Saddiq sebelum itu dijemput menghadiri dialog bertajuk 'Intern Bukan Buruh Paksa' anjuran Mahasiswa Demokratik Malaysia yang diadakan di UiTM Shah Alam, Selangor pada Khamis.
Syed Saddiq disekat di pintu masuk utama UiTM Shah Alam pada Khamis.
Ahli Parlimen Muar itu bagaimanapun berkata, beliau dimaklumkan beberapa cubaan sekatan dilakukan pihak universiti menghentikan program diskusi ilmiah itu daripada berlangsung.
"Pada 28 Mac, Timbalan Naib Cancelor UiTM memaklumkan pihak universiti tidak meluluskan program ini atas sebab 'mengekalkan keharmonian kampus'.
"Pada petang hari yang sama, UiTM juga mengeluarkan notis untuk pelajar tidak terlibat dengan aktiviti yang tidak mempunyai kelulusan universiti melalui ciapan @uitmofficial di twitter.
"Dan pada hari ini (Khamis), tular satu mesej di WhatsApp bahawa pintu pagar Kolej Melati (di UiTM Shah Alam akan ditutup dari pukul 9 malam hingga 6 pagi esok (Jumaat) atas masalah ‘teknikal’ yang tidak dapat dielakkan," ujarnya.
Di sebalik sekatan tersebut, Syed Saddiq tetap cuba memasuki institut pengajian tinggi berkenaan.
Namun begitu, cubaannya dipercayai gagal apabila disekat di pintu masuk utama UiTM Shah Alam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram