Imigresen mulakan siasatan terhadap dakwaan menteri buat kecoh di KLIA


  • 112
  • Jumaat, 30 Jun 2023

Gambar tular yang mendakwa seorang menteri menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa di KLIA bagi menyelamatkan seorang warga China yang ditahan masuk ke Malaysia. — Media sosial

JABATAN Imigresen Malaysia (Imigresen) mengambil tindakan serta-merta dan memulakan siasatan terhadap dakwaan insiden seorang menteri menimbulkan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, siasatan akan dibuat secara menyeluruh merangkumi semua aspek berkaitan.

"Sehubungan dengan itu, jabatan ini memohon supaya orang ramai memberikan ruang agar siasatan dapat dijalankan dengan telus dan tidak membuat sebarang spekulasi atau provokasi yang boleh menggganggu siasatan," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Jumaat, tular beberapa keping gambar mendakwa seorang menteri menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa di KLIA bagi menyelamatkan seorang warga China yang ditahan masuk ke Malaysia.

Difahamkan kejadian itu berlaku pada Khamis dan terdapat warganet mendakwa menteri yang ditularkan tersebut berasal dari Sarawak dan kejadian itu bukan kali pertama berlaku.

Dalam pada itu, media melaporkan bahawa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, masih belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung insiden kekecohan dicetuskan individu terbabit.

Susulan itu, Loke berkata, beliau percaya pihak berkuasa lapangan terbang akan membuat siasatan terperinci mengenai kekecohan yang berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram