Formula baharu tukar syif petugas Imigresen dijamin mampu atasi kesesakan di CIQ


  • 112
  • Jumaat, 05 Mei 2023

Kesesakan yang berlaku di pintu keluar masuk laluan darat di CIQ ketika waktu puncak. — Gambar Facebook Onn Hafiz

SUSULAN lawatan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di pintu keluar masuk laluan darat di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bakal melaksanakan formula baharu pertukaran syif bagi memastikan semua kaunternya dibuka pada waktu puncak.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pelaksanaan itu penting bagi mengelakkan berlaku kesesakan terutama pada waktu puncak ekoran tiada kakitangan di kaunter disebabkan pertukaran syif pekerja.

Menurutnya, ia antara isu yang dibangkitkan baru-baru ini kerana waktu puncak pertukaran syif kakitangan Imigresen adalah pada jam 7 pagi yang merupakan waktu kritikal.

“Kita sedang mengkaji dan Insya-ALLAH dalam minggu depan akan ada satu formula lain kerana kita tidak mahu walaupun hanya dua hingga tiga minit (pertukaran syif waktu puncak), ia akan memberi kesan terhadap penyuraian trafik masuk ke Singapura khususnya.

"Kita akui waktu pertukaran syif jam 7 pagi adalah waktu kritikal berikutan waktu puncak di kedua-dua pintu masuk laluan darat adalah bermula jam 5 hingga 8 pagi.

“Sebarang pertukaran syif pada waktu puncak diakui berupaya merencatkan keupayaan kaunter terus dibuka sekali gus akan menyebabkan kesesakan,” katanya.

kp imigreseb

Ruslin Jusoh

Sementara itu, Ruslin turut memaklumkan, susulan 231 rekrut Imigresen bakal tamat latihan pada 20 Mei depan, JIM akan menempatkan 100 lagi kakitangan baharu di CIQ BSI bermula bulan ini.

Ujarnya, CIQ BSI kini mempunyai 1,074 kakitangan Imigresen berbanding keperluan kakitangan seramai 1,347.

Tambah beliau, sebanyak 700 perjawatan baharu Imigresen juga sudah diluluskan kerajaan dengan sebahagian besarnya akan diletakkam di CIQ BSI, KSAB selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang turut berdepan isu kekurangan kakitangan.

"JIM juga komited untuk memastikan 100 peratus kaunter dibuka ketika waktu puncak di CIQ BSI dan KSAB, malah ia menjadi fokus utama kita bagi mengatasi isu kesesakan kritikal di pintu masuk laluan darat tersibuk di dunia yang terletak di Tambak Johor.

"Bagi memastikan 100 peratus kaunter di BSI CIQ dibuka pada waktu puncak, JIM turut menempatkan sebanyak 20 pasukan tindakan pantas (QRT Team) bagi membolehkan penggantian kakitangan Imigresen dan pembukaan kaunter dilakukan secara maksimum dan tanpa gangguan sepanjang waktu puncak.

"Tambahan 20 lagi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut ditempatkan di CIQ BSI bagi membantu dan menyegerakan penyuraian trafik di Tambak Johor bagi mengelakkan berlakunya kesesakan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram