Jabatan Imigresen beri respons insiden tular menteri didakwa buat kecoh di KLIA


  • Tular
  • Jumaat, 30 Jun 2023

Suasana tegang berlaku apabila pihak berkuasa di KLIA tidak membenarkan beliau 'menyelamatkan' pelawat warga China tersebut. — Media sosial

TULAR beberapa keping gambar mendakwa seorang menteri menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor bagi menyelamatkan seorang warga China yang ditahan masuk ke Malaysia.

Difahamkan kejadian itu berlaku pada Khamis dan gambar tersebut mula tular di media sosial sejak Jumaat.

Berdasarkan perkongsian daripada warga maya, @braindrainbb mendakwa menteri yang ditularkan tersebut merupakan menteri yang berasal daripada Sarawak dan kejadian itu bukanlah kali pertama berlaku.

Sementara itu, memetik laporan media tempatan, pelawat warga China itu ditahan oleh pihak berkuasa sebaik sahaja tiba masuk ke negara ini.

Individu yang dipercayai menteri itu kemudiannya terus masuk ke dalam balai ketibaan tanpa memohon pas kebenaran.

Suasana tegang berlaku apabila pihak berkuasa di KLIA tidak membenarkan beliau 'menyelamatkan' pelawat warga China tersebut.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, seperti laporan Kosmo! berkata, beliau menyifatkan belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung insiden kekecohan dicetuskan individu terbabit.

Susulan itu, Loke berkata, beliau percaya bahawa pihak berkuasa lapangan terbang akan membuat siasatan terperinci mengenai kekecohan yang berlaku.

“Saya belum dapat apa-apa laporan lanjut berkenaan insiden itu, saya rasa pihak berkuasa lapangan terbang akan membuat siasatan terperinci apa yang berlaku.

“Sudah tentu protokol keselamatan kena patuh, apapun kita serah kepada pihak berkuasa penerbangan untuk buat siasatan terperinci,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di KLIA Terminal 2 pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Imigresen memaklumkan satu kenyataan berkaitan insiden itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram