Bomba hadapi cabaran getir usung jenazah 110kg hampir 48 jam keluar dari hutan di Beluran


  • 112
  • Ahad, 25 Jun 2023

Anggota bomba cuba membawa mangsa turun dari lokasi pendakian di Borneo Timber Sungai di Pinangah Beluran, pada Sabtu.

SEORANG lelaki yang jatuh sakit semasa sedang mendaki ditemui meninggal dunia di dalam khemahnya yang terletak jauh di pedalaman Beluran, Sabah.

Warga Indonesia berusia 24 tahun sedang menjalankan aktiviti pendakian bersama dua rakannya sebelum dia mengadu sakit badan dan tidak dapat meneruskan perjalanan bersama mereka.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berhampiran Borneo Timber Sungai di Pinangah di Tongod, Beluran, kira-kira pukul 6.30 pagi, Jumaat.

“Pemanggil memberitahu kami ada seorang lelaki yang sangat sakit di dalam hutan dan mereka memerlukan bantuan untuk membawanya ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan.

2144261

Cuaca dan keadaan geografi bentuk muka bumi licin dan curam menyukarkan anggota penyelamat membawa keluar mayat. — Ihsan bomba

Hamsa berkata, pihaknya kemudian menerima satu lagi panggilan kira-kira pukul 2.25 petang hari sama mengatakan mangsa sudah meninggal dunia.

Beliau memaklumkan, satu pasukan ketika itu sedang dalam perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke tempat kejadian yang terletak jauh dari jalan utama.

Lokasi kejadian terletak sejauh 132 kilometer (km) dari balai bomba.

Sebaik tiba di tempat kejadian, Hamsa berkata, pasukannya menjumpai mangsa yang maut berada di dalam khemah.

Beliau berkata, berikutan cuaca dan keadaan geografi bentuk muka bumi licin dan curam, anggota penyelamat tidak dapat meneruskan perjalanan keluar dari hutan.

Pihak bomba juga berdepan cabaran kerana perlu mengusung mayat seberat 110 kilogram (kg) pada hari sama dan terpaksa menunggu sehingga pukul 5 pagi, Sabtu untuk meneruskan perjalanan.

Hamsa berkata, pada waktu itu, hari sudah terlalu gelap dan berbahaya untuk mereka meneruskan perjalanan keluar dari hutan dengan operasi ditamatkan pada pukul 11.20 malam, Sabtu.

Sebaik dibawa keluar dari lokasi, pegawai perubatan mengesahkan lelaki itu meninggal dunia.

Kes tersebut kini dikendalikan pihak polis dan punca kematian sedang disiasat. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram