PN selesai runding, bahagi calon 245 kerusi hadapi 6 PRN


  • Politik
  • Khamis, 22 Jun 2023

PN akan bertanding di kesemua 245 kerusi DUN enam negeri yang akan mengadakan PRN nanti. — Gambar hiasan

PERIKATAN Nasional (PN) akan bertanding di kesemua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal bertanding di 83 DUN, PAS di 126 DUN manakala 36 DUN lagi ditandingi oleh Parti Gerakan (Gerakan).

"Jumlah kerusi baharu bukan penyandang yang bakal ditandingi oleh anggota parti PN pula merangkumi Bersatu sejumlah 64 kerusi, PAS sejumlah 50 kerusi dan Gerakan sebanyak 36 kerusi,” katanya selepas mempengerusikan Majlis Presiden PN di Kuala Lumpur, pada Khamis.

Turut hadir Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin.

PRN akan datang membabitkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45) dan Terengganu (32) yang berada di bawah pentadbiran PN manakala Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36) iaitu negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin berkata, jentera PN kini berada pada tahap tertinggi serta komited untuk menghadapi PRN terutama dalam usaha mempertahan tiga negeri di bawah pentadbirannya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah selain menawan tiga lagi.

Prikatan National Chairman Tan Sri Muhyiddin Yassin chair the press conference and also announce the portfolio of line up , with him are Datuk Seri Hamzah Zainudin. — LOW BOON TAT/The Star

Muhyiddin (kanan) menafikan dakwaan mengatakan beliau mempunyai perselisihan pendapat dengan Hamzah berkenaan hala tuju parti.

Ditanya sama ada calon yang bakal bertanding telah dimuktamad, beliau berkata, perkara itu akan dibincang di peringkat parti dan diumum di peringkat negeri terbabit.

"Nama calon akan dikemukakan oleh negeri menerusi pencalonan yang dikemukakan di peringkat kawasan masing-masing kerana setiap parti ada jawatankuasa yang akan menapis calon bersesuaian daripada pelbagai aspek,” katanya.

Muhyiddin berkata, selain itu, PN kini di peringkat akhir dalam menyempurnakan manifesto gabungan tersebut.

Presiden Bersatu itu turut menafikan dakwaan bahawa beliau dan Hamzah berselisih pendapat mengenai hala tuju parti seperti dilaporkan media tempatan baru-baru ini.

"Parti PN paling harmoni, semua parti tiada masalah dan masing-masing stabil. Bila masa saya bergaduh? Perkara ini sengaja dibuat maka jangan percayalah, ini hanya perbuatan laskar siber,” katanya.

Menurut laporan sebuah portal media tempatan, khabar angin itu tercetus susulan laporan baru-baru ini bahawa PN mencadangkan agar Hamzah digantikan dengan individu lain sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram