[VIDEO] Kaki putus 'melekat' kena pembahagi jalan dalam nahas di Lunas-Kg Mengkuang


  • Tular
  • Isnin, 19 Jun 2023

Menerusi klip tular berkenaan, mangsa lelaki yang masih hidup dan memakai baju hitam itu dilihat terbaring di tepi jalan sambil ditenangkan orang ramai yang tampil membantu.

SEORANG penunggang motosikal putus kaki selepas motosikal dinaiki terlibat dalam satu kemalangan dipercayai berlaku di Lebuhraya Butterworth-Kulim dekat Lunas, Kedah.

Video memaparkan keadaan mangsa susulan kemalangan yang difahamkan berlaku di jalan menghala ke Kampung Mengkuang, Kubang Semang, Pulau Pinang itu tular sejak Ahad.

Menerusi klip rakaman berdurasi 32 saat berkenaan, mangsa lelaki yang masih hidup dan memakai baju hitam itu dilihat terbaring di tepi jalan sambil ditenangkan orang ramai yang tampil membantu.

Pada masa sama, orang ramai dilihat turut berusaha untuk mendapatkan kaki mangsa yang terputus selepas dipercayai melekat di bahagian tepi besi pembahagi jalan dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada malam Ahad itu.

"Ada ke kaki dia? kalau ada ambil dulu...Oh kaki dia 'melekat' dekat situ (pembahagi jalan)," ujar seorang individu yang dalam rakaman video berkenaan.

Ekoran kemalangan terbabit, motor mangsa dilihat tersangkut di pembahagi jalan tersebut.

Sementara itu, video tersebut turut memaparkan seorang perempuan yang dipercayai membonceng bersama mangsa ketika kejadian dilihat tidak menghadapi sebarang kecederaan teruk dan duduk di tepi jalan tidak jauh dari lelaki terbabit.

Dalam rakaman lain yang turut tular di media sosial, kaki mangsa yang terputus berjaya ditemukan yang mana orang awam di lokasi kejadian segera meletakkannya ke dalam mangkuk berisi ais.

Setakat berita ditulis, belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram