'Saya tidur di bilik dan cium bau pakaian dia', air mata ayah menitis rindukan anak bertahun tidak jumpa


  • Massa
  • Ahad, 18 Jun 2023

DIANGGARKAN terdapat ratusan bapa yang tidak dapat bertemu anaknya dalam tempoh yang panjang kerana dinafikan hak mereka semasa dalam proses tuntutan hak jagaan anak. — Gambar hiasan

TANGGAL 18 Jun ditetapkan sebagai hari untuk memperingati individu yang bergelar bapa di seluruh dunia.

Apabila tibanya hari tersebut, mereka yang bergelar bapa pastinya tidak sabar untuk meraikannya bersama-sama dengan ahli keluarga termasuk dengan anak masing-masing.

Namun begitu, tidak semua bapa mempunyai peluang yang sama untuk meraikan waktu tersebut bersama-sama anak tercinta.

Ini kerana bagi sesetengah individu yang bergelar bapa khususnya untuk mereka mengalami perceraian bersama pasangan masing-masing, pertemuan bersama anak-anak bukanlah semudah seperti dialami oleh bapa lain.

Malahan, ada juga di antara mereka yang langsung tidak dapat berjumpa secara fizikal selama bertahun-tahun apatah lagi untuk menyambut Hari Bapa pada setiap tanggal 18 Jun.

Setiausaha Persatuan Hak Bapa Malaysia, Sheikh Faligh Sheikh Mansor berkata, dianggarkan terdapat ratusan bapa yang tidak dapat bertemu anaknya untuk tempoh yang lama kerana dinafikan hak mereka semasa dalam proses tuntutan hak jagaan anak.

"Setiap kali tiba Hari Bapa, kita akan cakap pasal benda yang baik-baik sahaja. Kita akan buat poster cantik-cantik, lepas itu makan dekat restoran sama-sama untuk ambil gambar.

"Tapi kita tidak pernah pun cakap pasal nasib yang dialami bapa-bapa yang dah lama tidak dapat berjumpa dengan anak mereka bukan sebab tidak mahu jumpa, tapi sebab dihalang," katanya kepada Majoriti.

Menceritakan mengenai pengalaman dihadapinya, Sheikh Faligh, 47, berkata, dia mula mengalami detik hitam apabila sukar untuk bertemu anaknya selama lebih lapan tahun sejak berpisah dengan isterinya pada 2015, ketika kedua-dua anaknya itu masing-masing berusia lapan dan tiga tahun.

WhatsApp Image 2023-06-17 at 10.22.18 PM

Sheikh Faligh (kiri) mengalami kesukaran untuk bertemu dua orang anaknya (di dalam gambar) selepas bercerai dengan isterinya pada 2015.

Malah menurutnya, dia juga pernah tidak dapat langsung bertemu dua orang anaknya secara fizikal selama empat tahun dalam tempoh tersebut meskipun pada waktu itu mahkamah memberikannya hak untuk berjumpa dengan kedua-dua anaknya itu dua minggu sekali.

Semasa tempoh tersebut, Sheikh Faligh berkata, bekas isterinya diberikan hak jagaan sementara ketika proses tuntutan hak jagaan anak sedang berjalan di mahkamah.

Disebabkan kesukaran tersebut, Sheik Faligh berkata, dia tidak dapat membina hubungan baik bersama kedua-dua cahaya matanya itu dan melihat mereka membesar seperti mana bapa lain meskipun bekas isterinya dan dirinya kedua-duanya tinggal tidak jauh antara satu sama lain iaitu di sekitar Lembah Klang.

"Oleh kerana situasi tersebut, saya sendiri mengalami kemurungan selama tujuh tahun. Menangis tiap-tiap malam. Kemudian untuk nak hilangkan rindu itu, saya akan tidur di bilik yang anak saya tidur sebelum dia tinggalkan rumah. Tengok gambar anak, kemudian bau pakaian dia.

"Tentulah sebagai lelaki, kita takkan kongsikan benda ini dengan orang lain," ujarnya yang seorang ahli perniagaan.

1348979

Persatuan Hak Bapa Malaysia berharap agar kerajaan menimbangkan untuk menilai semula perundangan sedia dalam isu perceraian dan hak jagaan anak antaranya membabitkan Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) yang kali terakhir disemak pada 1976.

Sheikh Faligh berkata, selepas lebih lapan tahun berjuang bagi mendapatkan hak jagaan terhadap kedua-dua anaknya, dia memutuskan menutup kes tuntutan tersebut pada 2022 dan memberikan hak tersebut kepada isterinya kerana tidak tahan dengan proses mahkamah yang memakan masa.

Bagaimanapun, katanya, dia masih tidak berputus asa untuk terus berusaha memperbaiki hubungan bersama anaknya itu yang renggang akibat berpisah terlalu lama dan diburukkan lagi dengan hubungan tidak baik bersama isterinya.

Dalam pada itu, Sheikh Faligh berkata, sejak dua tahun ditubuhkan, Persatuan Hak Bapa Malaysia sudah menerima lebih kurang lebih 300 aduan daripada individu dipercayai bapa yang turut mengalami nasib serupa untuk bertemu dengan anak masing-masing akibat isu hak jagaan.

"Kalau yang mana benarkan kita rekod kisah dia dan berani bercakap dengan kita dalam dalam 130 orang. Pada masa sama, kita juga dapat ratusan panggilan tapi dia nak rahsiakan nama dia. Untuk itu sahaja kita dapat lebih daripada 200 orang," jelasnya.

Sheikh Faligh berkata, pihaknya berharap agar kerajaan menimbangkan untuk menilai semula perundangan sedia dalam isu perceraian dan hak jagaan anak antaranya membabitkan Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) yang kali terakhir disemak pada 1976.

Menurutnya, ia bagi membolehkan keadilan dapat dinikmati oleh kedua-dua belah pihak termasuk bapa dalam proses tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram