'Edward anak yang baik', sepupu dedah mangsa lemas di Tanjung Malim setahun simpan hasrat mahu mandi sungai


  • Massa
  • Selasa, 06 Jun 2023

Pasukan SAR pada Selasa menemui mayat dipercayai kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dikhuatiri lemas sejak Sabtu lalu. — Bernama

KANAK-KANAK berusia lapan tahun, Edward Grang Jenggut yang ditemukan lemas di sungai berdekatan Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat, Tanjung Malim, Perak sudah setahun menyatakan hasratnya untuk mandi di sungai kepada ibu dan bapanya.

Sepupu mangsa, Martinus Tanjong, 33, berkata, bapa Edward memberitahunya bahawa anaknya teringin mandi-manda di sungai jadi mereka mengambil peluang cuti sekolah untuk beriadah bersama keluarga besarnya.

"Kami sampai ke sini pada Jumaat lepas tapi kami ambil keputusan untuk mandi di sungai pada keesokannya. Ketika kejadian tersebut kira-kira pukul 4 petang, saya dan Edward (mangsa) mandi bersama-sama tapi saya dalam kedudukan berpaling darinya.

"Apabila toleh ke belakang, mangsa hilang tanpa dengar jeritan atau percikan air seperti meminta tolong walaupun ketika itu banyak orang awam yang turut mandi di kawasan tersebut,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pos kawalan pasukan penyelamat di lokasi kejadian pada Selasa.

TANJUNG MALIM, 6 Jun --  Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bernama Lady jenis Labrador ketika misi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak berusia lapan tahun yang dilaporkan hilang di Sungai Bernam berdekatan Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat, Sabtu lepas, hari ini.Hasil pencarian pasukan penyelamat dengan menumpukan teknik carian di permukaan air, mayat kanak-kanak itu ditemui kira-kira 7.3 kilometer dari lokasi kejadian. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mangsa ditemui Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bernama Lady jenis Labrador ketika misi SAR pada Selasa. Bernama

Martinus berkata, dia mencari mangsa di sekitar kawasan itu namun tiada sahutan dan terus memberitahu kepada bapanya.

"Kami terus menelefon bomba untuk dapatkan bantuan dan kami bersyukur kerana mangsa ditemui pada hari ini (Selasa),” katanya.

Martinus menyifatkan mangsa sebagai seorang yang baik dan sentiasa mendengar kata.

Katanya, mereka sering bermandi-manda di sungai ini kerana airnya yang jernih dan paras air yang tidak tinggi.

"Kami sudah datang ke sini kira-kira tiga kali, tapi kami selalu mandi di belah atas dan ingin mencuba menukar angin mandi di sebelah bawah,” katanya.

Sementara itu, keluarga dan waris mangsa yang hilang sejak Sabtu dibenarkan berkumpul di lokasi kejadian sejak empat hari lepas dan diberi sumbangan makanan serta minuman oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Terdahulu, mayat Edrward ditemukan di Sungai Bernam 7.3 kilometer dari lokasi kejadian tersangkut pada kayu oleh seekor anjing pengesan dalam misi SAR kira-kira pukul 12.35 tengah hari Selasa.

Pengecaman mayat dilakukan ibu bapa mangsa di Hospital Slim River. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram