[VIDEO] Dua maut, seorang masih hilang insiden lemas libatkan 3 remaja lelaki di Kulai dan Masai


  • 112
  • Sabtu, 20 Mei 2023

Tangkap layar kejadian seorang remaja lelaki yang ditemui lemas ketika menjalan ikan di Kulai, Johor pada Jumaat.

DUA kejadian lemas dilaporkan berlaku di Johor pada Jumaat dengan masing-masing mencatatkan kes kematian di Kulai dan Masai.

Di Kulai, seorang remaja lelaki ditemukan lemas ketika menjala ikan bersama-sama rakannya di sungai berhampiran sebuah restoran makanan segera di Jalan Merbau 3, Bandar Putra pada petang Jumaat.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai, Pegawai Bomba Kanan II, Baharuddin Mohd Omar berkata, Amirul Ikhwan Muhammad Khairul Amin, 14, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.53 petang dan sebuah jentera 'Fire Rescue Tender' (FRT) dari BBP Bandar Baru Kulai dengan kekuatan enam anggota digegaskan ke lokasi kejadian.

"Mangsa dijumpai anggota bomba di lokasi dia dilaporkan lemas pada kira-kira pukul 5.54 petang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, dalam kejadian yang berlaku di Masai pula melibatkan dua kanak-kanak yang lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Masai berhampiran Rumah Pangsa Seri Intan di Bandar Seri Alam, Johor pada Jumaat.

Seorang dilaporkan lemas manakala seorang lagi mangsa masih hilang dalam kejadian tersebut.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Sarhan Akmal Mohamad memberitahu bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.31 malam Jumaat.

“Sepasukan 13 anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang dan enam dari Pasukan Penyelamat Air (PPDA) Skudai mula menyelam mencari kanak-kanak itu pada pukul 4.28 pagi,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa pertama, Mohd Danish Ahmad, 11, ditemui pada pukul 5.06 pagi Sabtu kira-kira 50 meter dari tempat dia terjatuh ke dalam sungai.

Beliau turut memberitahu bahawa seorang lagi mangsa, Zahir Akmal Mohd Idris, 13, masih hilang dan usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram