Jocelyn Chia anggap pihak berkuasa Malaysia merepek, melebih-lebih


  • Benua
  • Rabu, 14 Jun 2023

Jocelyn Chia mengganggap jenaka yang memperlekeh dan mempersenda penonton adalah sebahagian daripada budaya kelab komedi di New York.

JOCELYN Chia menganggap tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat permohonan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mendapatkan identiti penuh dan lokasi terkininya sebagai reaksi yang berlebihan.

Menurut laporan BBC, pelawak kelahiran Singapura itu mengakui tidak berniat untuk mempersenda tragedi kehilangan pesawat MH370, sebaliknya hanya ingin mencari humor dalam sesebuah tragedi.

"Tindakan PDRM yang cuba melibatkan Interpol dalam isu ini disifatkan sebagai 'merepek'," katanya.

Difahamkan, Interpol masih belum memberi respons kepada BBC sama ada mereka akan bertindak seperti mana yang dipohon oleh polis Malaysia.

Jocelyn sebelum ini menerima kecaman hebat daripada rakyat Malaysia susulan sketsa komedinya yang membangkitkan isu perkauman serta membandingkan kemajuan yang dimiliki antara Malaysia dan Singapura.

Malah, tanpa rasa bersalah dia memperlekeh dan mempersenda tragedi kehilangan pesawat MH370 dalam persembahannya.

Bagaimanapun katanya, lawak yang dipamerkan dalam acara komedi yang berlangsung di New York baru-baru ini telah diambil di luar konteks selepas ia tular di media sosial.

"Saya telah (melakukan sketsa ini) beratus kali, bahkan pernah melakukannya dalam versi yang lebih pendek di Singapura dan ia selalu membuat penonton ketawa. Saya tidak akan gunakan (lawak) ini berkali-kali jika ia tidak menjadi," jelasnya.

Pelawak itu mengakui membuat jenaka yang memperlekeh dan mempersenda penonton adalah sebahagian daripada budaya kelab komedi di New York.

Malah katanya, komik Amerika pada masa lalu pernah menggunakan kejadian serangan pengganas 11 September sebagai lawak jenaka mereka.

"Orang Amerika biasa mengapresiasi lawak jenaka yang lebih kasar dibandingkan dengan di Asia yang mana konsep stand-up comedy itu sebenarnya masih baharu," ujarnya. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram