SEORANG anggota Polis Bantuan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) maut dalam kemalangan di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pulau Pinang awal pagi Rabu.
Menurut kenyataan JKSB, mangsa dikenali Musyiri Bakar, 49, meninggal dunia akibat kemalangan sewaktu membantu seorang pemandu kereta rosak di tepi jalan di KM11.6 dari arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung.
"Secara tiba-tiba sebuah lori lima tan dipercayai hilang kawalan dan melanggar kenderaan peronda menyebabkan mangsa yang berada di depan kenderaan berkenaan tercampak ke lorong motosikal.
"Mangsa kemudian dilanggar sebuah motosikal yang turut melalui kawasan terbabit.
"Penunggang motosikal dilaporkan cedera ringan manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," kata kenyataan pada Rabu.
Difahamkan pemandu lori berkenaan tidak mempunyai lesen memandu.
Mangsa berkhidmat dengan JKSB sebagai polis bantuan selama 10 tahun dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk proses bedah siasat dan doktor mengesahkan punca kematian disebabkan mengalami kecederaan parah akibat kemalangan.
Jenazah mangsa akan dibawa ke Masjid Jamek Tasek Junjung di Simpang Ampat untuk solat sebelum dikebumikan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram