GARA-GARA bangkai babi, seorang peniaga cedera apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Jalan Desa Pinggiran Putra dekat Sepang, Selangor pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, kejadian berlaku pada pukul 6.47 pagi.
"Siasatan mendapati kenderaan jenis Honda City dipandu seorang jurutera lelaki berumur 57 tahun dari arah Desa Pinggiran Putra menghala ke Alamanda sebelum melanggar bangkai babi yang berada di tengah jalan.
"Kenderaan mangsa yang hilang kawalan kemudian merempuh tiga lagi kenderaan termasuk sebuah motosikal yang ketika itu berada di bahu jalan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Keadaan kenderaan yang terlibat kemalangan di Jalan Desa Pinggiran Putra pada Selasa. — Ihsan polis
Katanya, siasatan mendapati salah sebuah daripada tiga kenderaan yang berada di bahu jalan itu terlebih dahulu melanggar bangkai babi tersebut.
"Penunggang motosikal yang dilanggar oleh Honda City tersebut mengalami kecederaan luka ringan di bahagian tangan kanan, kaki kiri dan telah menerima rawatan di Hospital Putrajaya.
"Tiga pemandu kenderaan lain yang terlibat bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan.
"Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59)," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram