[VIDEO] Baru bebas reman, suami isteri curi tabung masjid di Dungun kena cekup lagi


  • 112
  • Rabu, 14 Jun 2023

Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan dua suspek cuba memecah tabung di Masjid Kuala Abang, Dungun baru-baru ini.

SEPASANG suami isteri ditahan polis bagi membantu siasatan cubaan mencuri dan memecah tabung Masjid Kuala Abang di Dungun, Terengganu pada minggu lalu.

Suspek masing-masing berusia 26 dan 23 tahun itu ditahan semula selepas dipercayai cuba mencuri dan memecah tabung masjid dalam kejadian pada 6 dan 8 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum ini kedua-dua suspek direman lima hari berhubung kes kecurian tabung masjid di Bukit Besi.

"Sebaik tempoh reman berakhir, mereka ditahan semula untuk siasatan satu lagi kes di masjid Kuala Abang.

"Perbuatan suspek terbongkar selepas ahli jawatankuasa masjid memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) masjid pada 9 Jun lalu," katanya memetik laporan Berita Harian.

Baharuddin berkata, siasatan awal mendapati pasangan itu cuba memecah tabung masjid berkenaan pada pukul 10.14 pagi 6 Jun lalu dan sekali lagi kira-kira pukul 2 pagi, 8 Jun lalu tetapi gagal.

"Ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif methaphetamine manakala isterinya negatif dadah," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan

Terdahulu, video dua minit empat saat yang memaparkan cubaan dua individu dipercayai suami isteri terbabit cuba memecah tabung Masjid Kuala Abang tular di media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram