SEBUAH tadika di China ditutup sementara untuk proses pemeriksaan selepas perbuatan pekerjanya mencuci pinggan kanak-kanak di longkang tempat membuang air kecil diketahui umum.
Kejadian itu berjaya dirakam oleh salah seorang ibu kepada kanak-kanak di situ, sebelum ia tular di media sosial.
Memetik laporan media, video berdurasi lapan saat itu menunjukkan seorang pekerja wanita di Sunshine Kindergarten di daerah Jiangxi sedang membongkok di longkang sambil menggunakan paip untuk mencuci pinggan dipercayai digunakan untuk menghidang makanan kepada kanak-kanak di tadika berkenaan.
Berdasarkan laporan yang dikeluarkan pasukan penyiasat, pusat tersebut telah ditutup sementara, manakala pengurus dan pekerja dalam video itu kini sedang disiasat.
Menurut individu yang merakam video berkenaan, setelah mengetahui tentang perbuatan menjijikkan itu, dia segera memindahkan anaknya ke tadika lain.
Video tular itu membangkitkan kemarahan netizen di China, dengan lebih 50,000 komen dibuat pada hantaran tersebut.
Salah seorang pengguna media sosial mempersoalkan tindakan pekerja itu yang sanggup memperlakukan anak-anak orang lain seperti haiwan.
“Adakah ini perilaku manusia? Adakah dia seorang guru? Taman kanak-kanak seperti itu harus dihukum berat dan ditutup selama-lamanya.
"Taman kanak-kanak ini memiliki sistem pengurusan yang buruk dan stafnya tidak memiliki moral," katanya.
Video tular laman sosial itu mendatangkan kemarahan warga maya.
Isu keselamatan makanan yang kurang memuaskan di kebanyakan sekolah dan universiti di negara Tembok Besar itu sering didedahkan oleh media tempatan negara berkenaan.
Untuk rekod, pada tahun 2021, sebuah taman kanak-kanak di daerah Anhui, Tiongkok Timur dilaporkan telah memberi makanan busuk kepada kanak-kanak yang mendaftar si dana.
Perbuatan itu diketahui ibu bapa selepas mereka membuat pemeriksaan secara mengejut susulan ramai kanak-kanak di situ mengadu sakit perut.
Selain itu, terdapat juga kes kanak-kanak di sebuah tadika di Anhui mengalami keracunan makanan setelah pihak tadika menyajikan telur ayam busuk dan nasi basi kepada mereka pada tahun 2018. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram