Tikam kekasih 8 kali, suspek mengaku tidak bersalah di mahkamah


Seorang pembantu peribadi didakwa membunuh di mahkamah selepas menikam kekasihnya sebanyak lapan kali di Kota Kinabalu, Sabah. — The Star

SEORANG pembantu peribadi yang didakwa menikam bekas kekasihnya lapan kali di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu, Sabah didakwa membunuh di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan dibuat Chung King Fung@Haider Daniel Chung selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.

Mengikut kertas pertuduhan, Chung, 32, didakwa membunuh Nurul Ain Silien, 22, di sebuah kedai ais krim di Jesselton Mall, Kota Kinabalu antara tengah hari hingga 12.20 tengah hari pada 29 Mei.

Pegawai pendakwa Inspektor Kelvan Elson Maik memohon tarikh baharu sebutan semula kes, sementara menunggu laporan bedah siasat daripada hospital berserta ujian DNA dan laporan forensik daripada Jabatan Kimia.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Julai untuk sebutan kes seterusnya.

Peguam Chin Teck Ming dan Jul Hamri Jumhani mewakili Chung, yang bekerja di sebuah syarikat pembinaan antarabangsa, manakala peguam Nabila Norsahar memegang taklimat pemerhati untuk keluarga mangsa.

Sebelum ini, dilaporkan tertuduh telah menikam bekas teman wanitanya sebanyak lapan kali selepas tertuduh enggan meneruskan hubungan mereka.

Tertuduh bagaimanapun menghubungi polis sendiri dan menunggu sehingga tiba di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, lelaki itu telah berjumpa dengan mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah pusat beli-belah untuk memujuknya supaya tidak memutuskan hubungan mereka.

Bagaimanapun, Kalsom berkata, mangsa menolak rayuannya kerana dia telah membuat keputusan.

"Disebabkan itu, suspek yang berang telah menikamnya sebanyak lapan kali sehingga menyebabkan kematiannya," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram