Helikopter mendarat di kawasan lapang perlu dapat kebenaran pemilik tanah — CAAM


  • Primer
  • Selasa, 13 Jun 2023

Penerbangan helikopter itu tular sejak Selasa selepas ia dipercayai mendarat di kawasan lapang berhampiran kawasan perumahan bagi menghantar seorang pelajar sekolah swasta.

SETIAP penerbangan perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik tanah sebelum melakukan pendaratan di sesebuah kawasan terbuka, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Ketika dihubungi Majoriti, jurucakap agensi itu memaklumkan pihaknya sedang mendapatkan maklumat daripada juruterbang helikopter yang tular sejak Selasa selepas mendarat di kawasan lapang, Seksyen U11, Shah Alam, Selangor dipercayai kerana menghantar seorang pelajar sekolah swasta.

"Dari segi undang-undang, helikopter itu boleh mendarat di mana-mana sahaja di kawasan lapang, tapi dia kena dapatkan kebenaran daripada pemilik tanah. Tanggungjawab untuk dapatkan kebenaran itu adalah di pihak juruterbang.

"Jadi sekarang ini, kita kena kenal pasti daripada juruterbang itu sama ada dia punya penerbangan itu dapat kebenaran untuk mendarat dari pemilik tanah atau tidak dan termasuk pelan penerbangan tersebut. Jika tidak dapat kebenaran, sepatutnya dia tidak boleh mendarat," katanya.

Ujarnya, kebenaran pendaratan daripada pemilik tanah itu boleh dilakukan dengan pelbagai bentuk dengan syarat selagi ia boleh dibuktikan.

WhatsApp Image 2023-06-13 at 8.13.48 PM

Tangkap layar video tular mengenai pendaratan helikopter tersebut yang mencetuskan kegemparan dalam kalangan penduduk.

Menurutnya, CAAM setakat ini masih belum mendapat sebarang laporan rasmi daripada pihak polis mahupun pengadu.

Bagaimanapun, jurucakap itu memaklumkan agensi berkenaan sudah mula membuat pemeriksaan awal terhadap kes itu berdasarkan maklumat sedia ada, iaitu tarikh penerbangan itu dijalankan.

"Dari pihak CAAM, kita hanya periksa dari segi teknikal, sama ada helikopter itu memiliki lesen yang sah dan juga dari segi penggunaan ruang udara itu," ujarnya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim pada Selasa berkata, insiden tular itu berlaku pada 17 April lalu sekitar pukul 8 pagi.

Katanya, berikutan kejadian berkenaan, satu laporan polis dibuat Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan ketenteraman Awam(KB KDNKA) IPD Shah Alam dan kes diklasifikasikan dirujuk kepada CAAM untuk tindakan selanjutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram